SKYE Hitchcock menggunakan susu ibu sebagai botox untuk mencantikkan wajah. FOTO TikTok Skye Hitchcock
SKYE Hitchcock menggunakan susu ibu sebagai botox untuk mencantikkan wajah. FOTO TikTok Skye Hitchcock
Agensi

London: Tular kisah seorang wanita di TikTok mendakwa menyapu susu ibu pada wajah adalah sama kesannya dengan membuat rawatan botox yang mahal.

Mirror UK melaporkan ibu kepada empat anak, Skye Hitchcock, memuat naik video di TikTok, minggu lalu mengenai rutinnya menyapu susu ibu yang sudah tamat tempoh pada muka dan bibirnya.

"Semua susu ibu yang saya gunakan ini sudah tamat tempoh dan ia amat menyayat hati. Tetapi saya cuba memikirkan cara untuk menggunakannya supaya ia tidak menjadi sia-sia.

"Anda boleh menggunakan susu ibu sebagai botox, rasanya luar biasa, sangat bagus... saya akan memaklumkan semula kesan susu ibu sebagai 'botox' kepada anda," katanya kepada 936,000 pengikutnya.

Siapa sangka, hantaran Skye dihujani banyak komen dan kebanyakannya teruja apabila ada rawatan penjagaan kulit lebih murah daripada botox.

Sementara itu, pakar kesihatan dan pakar pemakanan Helen Bell berkata, setakat ini, belum terbukti sama ada penggunaan susu ibu tamat tempoh benar-benar boleh memberi kesan seperti botox atau ia hanya satu lagi trend yang muncul.

Katanya, daripada rawatan muka putih telur hingga serum lendir siput, pelbagai remedi penjagaan kulit sememangnya popular sekarang.

"Susu ibu mempunyai manfaat seperti antibodi, vitamin serta anti-radang yang boleh menenangkan dan berpotensi bermanfaat untuk kulit.

"Bagaimanapun, menggunakan susu ibu yang sudah tamat tempoh juga boleh menimbulkan risiko, seperti pertumbuhan bakteria, bagi saya melebihi sebarang manfaat yang berpotensi.

"Tidak ada bukti saintifik yang mencukupi untuk menyokong dakwaan bahawa ia berfungsi seperti botox untuk mengurangkan tanda-tanda penuaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 5:34 PM