PENUNJUK perasan yang menyimbah sup pada lukisan Monet.
PENUNJUK perasan yang menyimbah sup pada lukisan Monet.
AFP

Paris: Penunjuk perasaan membaling sup ke arah lukisan karya Claude Monet di sebuah muzium di tenggara Perancis, semalam.

Ia tindakan terbaharu kumpulan kempen yang melakukan aksi serupa ke arah lukisan terkenal dunia, Mona Lisa di Muzium Louvre, Paris, bulan lalu.

Pihak muzium Musee des Beaux-Arts di Lyon, bandar ketiga terbesar di Perancis dalam satu kenyataan berkata, serangan ke atas Le Printemps (Spring) karya Claude Monet berlaku jam 3.30 petang.

Lukisan tahun 1872 itu dilindungi oleh kaca, tetapi masih akan menjalani pemeriksaan dan pemulihan rapi, kata muzium itu.

Muzium itu berkata, ia akan memfailkan aduan untuk vandalisme, sambil menambah bahawa dua aktivis sudah ditangkap.

Pergerakan kumpulan Riposte Alimentaire (serangan balas makanan) mendakwa serangan itu dalam siaran di X, dengan seorang wanita yang mengenal pasti dirinya sebagai Ilona, 20, berkata "kita perlu bertindak sekarang sebelum terlambat."

Kumpulan sama, yang meminta bekalan makanan sihat yang mampan untuk semua, juga mendakwa melakukan serangan sup ke atas lukisan Mona Lisa muzium Louvre, bulan lalu.

Dua individu yang melakukan serangan terhadap karya ikonik Leonardo da Vinci itu sudah diperintahkan mahkamah, untuk menjalankan kerja sukarela untuk persatuan amal.

Riposte Alimentaire menamakan dirinya sebagai 'pergerakan penentangan sivil Perancis yang bertujuan untuk memacu perubahan masyarakat yang radikal untuk alam sekitar dan masyarakat'.

Ia bukan kali pertama lukisan Monet disasarkan oleh aktivis ekologi. Pada Oktober 2022, penunjuk perasaan dari Last Generation cawangan Jerman melemparkan kentang lenyek pada lukisan Les Meules (The Haystacks) di sebuah muzium di Potsdam. Ia juga dilindungi oleh kaca.

Pada Jun 2023, aktivis di Stockholm menyapu cat merah dan melekatkan tangan mereka pada penutup kaca sebuah lagi karya artis impresionis Perancis itu, The Artist's Garden at Giverny.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 3:47 PM