PETUGAS kesihatan menyuntik vaksin Covid-19 kepada seorang lelaki di sebuah pejabat kesihatan dii Jakarta. FOTO AFP
PETUGAS kesihatan menyuntik vaksin Covid-19 kepada seorang lelaki di sebuah pejabat kesihatan dii Jakarta. FOTO AFP
Reuters

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa mengklasifikasikan strain coronavirus JN 1 sebagai varian mempunyai kepentingan (VOI), tetapi berkata ia tidak menimbulkan banyak ancaman kepada kesihatan awam.

"Berdasarkan bukti yang ada, risiko kesihatan awam global tambahan yang ditimbulkan oleh JN 1 kini dinilai sebagai rendah," kata WHO.

JN1 sebelum ini diklasifikasikan sebagai VOI sebagai sebahagian daripada keturunan induknya BA 2 86.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu berkata, vaksin semasa terus melindungi daripada penyakit teruk dan kematian daripada JN 1 dan varian lain yang beredar bagi virus Covid-19.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) pada awal bulan ini berkata, subvarian JN 1 membentuk kira-kira 15 hingga 29 peratus kes di negara itu setakat 8 Disember, menurut unjuran terbaru agensi itu.

Ia menambah bahawa pada masa ini, tiada bukti bahawa JN 1 memberikan peningkatan risiko kepada kesihatan awam berbanding varian Covid-19 yang lain.

JN 1 pertama kali dikesan di AS pada bulan September, menurut CDC.

Minggu lalu, China mengesan tujuh jangkitan subvarian Covid-19 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 9:20 AM