GAMBAR fail Kapal Persiaran Carnival Vista yang dirakam pada 26 April lalu di Pantai Miami, Florida. FOTO AFP
GAMBAR fail Kapal Persiaran Carnival Vista yang dirakam pada 26 April lalu di Pantai Miami, Florida. FOTO AFP
AFP

New York: Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat pada Khamis menggesa rakyatnya mengelak perjalanan pelayaran walaupun mereka sudah diberi vaksin, berikutan lonjakan kes Covid-19 yang didorong oleh varian Omicron.

"Elakkan perjalanan pelayaran, tanpa mengira status vaksinasi," kata siaran di laman web Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) yang menaik taraf notis perjalanan semasa pelayaran ke Tahap 4, yang tertinggi pada skala risiko Covid-19.

"Malah pengembara yang diberi vaksin sepenuhnya mungkin berisiko untuk mendapat dan menyebarkan varian Covid-19," kata notis itu.

Antara 15 dan 29 Disember, terdapat 5,013 kes Covid-19 di perairan AS dilaporkan iaitu 31 kali ganda paras dalam dua minggu sebelumnya, menurut e-mel daripada jurucakap CDC.

Agensi itu mengesyorkan langkah mitigasi yang termasuk mendapatkan vaksin dan penggalak, memakai pelitup muka dalam persekitaran tertutup dan mengambil ujian sebelum berkumpul.

"Virus yang menyebabkan Covid-19 merebak dengan mudah dan peluang untuk mendapat Covid-19 di kapal persiaran adalah sangat tinggi, walaupun anda telah diberi vaksin sepenuhnya dan menerima dos penggalak vaksin Covid-19," kata CDC.

Lonjakan kes baharu yang dikaitkan dengan varian Omicron yang sangat mudah ditularkan menimbulkan cabaran baharu untuk industri pelayaran, yang mula menyambung semula perkhidmatan di AS pada musim panas ini selepas tidak beroperasi lebih daripada setahun.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 8:17 AM