BERLIAN ‘Bleu Royal’ 17.6 karat yang akan dilelong di Geneva. FOTO Reuters.
BERLIAN ‘Bleu Royal’ 17.6 karat yang akan dilelong di Geneva. FOTO Reuters.
Reuters

Geneva: Berlian biru terbesar dikenali Bleu Royal dijangka dilelong sehingga AS$50 juta (kira-kira RM236.47 juta) pada acara jualan permata jarang ditemui di Geneva, 7 November ini.

Bleu Royal yang dijadikan cincin itu, antara barang perhiasan paling jarang ditemui yang akan dilelong syarikat lelongan Christie.

Ketua Barang Kemas Antarabangsa Christie, Rahul Kadakia berkata, apa yang membuatkan Bleu Royal istimewa ialah saiznya.

"Bleu Royal adalah berlian 17.6 karat dan ia yang terbesar daripada jenisnya.

"Warnanya sangat asli dan ia sempurna seadanya," katanya yang dilapor CNN.

Pada 2016, Christie menjual berlian biru 14.6 karat yang jarang ditemui, dikenali Oppenheimer Blue pada harga lebih daripada AS$57 juta (kira-kira RM269.58 juta).

"Kami berharap ia (Bleu Royal) akan menewaskan Oppenheimer," katanya.

Syarikat lelongan itu mempamerkan berlian berkenaan kepada seluruh dunia, sama ada Asia, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah serta menerima sambutan menggalakkan daripada pengumpul dunia.

Dalam lelongan berasingan, Christie juga menawarkan rantai mutiara yang pernah digayakan oleh ikon fesyen dan filem, Audrey Hepburn dalam filem Roman Holiday 1953.

Katanya, lelongan rantai itu diletakkan pada harga antara AS$20,000 ke AS$30,000 (RM95,000 hingga RM141,000) yang disifatkan berpatutan dan "semua orang boleh menjadi Audrey Hepburn."

Selain itu, perhiasan lain yang dilelong adalah jam tangan Rolex yang dipakai oleh Marlon Brando dalam filem Apocalypse Now (1979) yang mana di belakangnya terukir tandatangan pelakon itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 3:10 PM