VESTMANNAEYJAER, Iceland. FOTO AFP
VESTMANNAEYJAER, Iceland. FOTO AFP

Kuala Lumpur: Iceland disenaraikan sebagai negara paling aman di dunia untuk tahun ke-15 menurut Indeks Keamanan Global 2023, baru-baru ini.

Negara di Eropah dan Asia mendominasi kedudukan negara paling aman, dengan Singapura, Portugal, Slovenia, Jepun dan Switzerland berada dalam kedudukan 10 teratas.

Semua negara berkenaan, kecuali Ireland, kerap disenaraikan dalam 10 negara paling aman.

Badan pemikir Institut Ekonomi dan Keamanan yang berpangkalan di Sydney mengeluarkan ranking tahunan itu berdasarkan faktor seperti konflik, keselamatan dan ketenteraan.

Markah keseluruhan bagi Iceland bagaimanapun merosot pada tahun ini, berikutan peningkatan dalam pembunuhan dan aktiviti pengganas yang pertama direkodkan dalam sejarah negara terbabit.

PULAU Achill di pantai barat Ireland. FOTO AFP
PULAU Achill di pantai barat Ireland. FOTO AFP

Empat orang ditangkap pihak berkuasa dan didakwa kerana merancang serangan pengganas terhadap Parlimen Iceland dan ahli politik terkemuka, menurut laporan itu.

Walaupun Eropah kekal sebagai wilayah paling aman di seluruh dunia, konflik di Ukraine menyumbang kepada kemerosotan kestabilan politik, hubungan dengan negara-negara jirannya di rantau berkenaan.

Tiga daripada lima negara Eropah yang mengalami kemerosotan dalam senarai keamanan berkongsi sempadan dengan Ukraine, tambah laporan itu.

Menurut tinjauan itu, Turkiye adalah negara paling tidak aman di Eropah dan mencatatkan markah terendah sejak indeks itu bermula pada 2008.

Kedudukan itu disebabkan oleh kadar pemenjaraannya dan kematian akibat konflik luar.

Ankara mempunyai tentera di negara jiran Iraq dan Syria, di mana ia mengatakan tenteranya memerangi kehadiran Parti Pekerja Kurdistan yang dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh Turkiye dan Kesatuan Eropah.

Kanada pula mengatasi Amerika Syarikat di Amerika Utara.

Untuk rantau Rusia and Eurasia, Moldova disenaraikan sebagai negara paling aman, manakala Rusia berada di kedudukan terakhir dan kini mempunyai tahap keamanan terendah sejak 2008.

Afghanistan pula disenaraikan sebagai negara paling tidak aman di dunia untuk tahun kelapan berturut-turut.

SALZBURG, Austria. FOTO Salzburg Tourism
SALZBURG, Austria. FOTO Salzburg Tourism

Berikut senarai 10 negara paling aman di dunia untuk 2023

1. Iceland

2. Denmark

3. Ireland

4. New Zealand

5. Austria

6. Singapura

7. Portugal

8. Slovenia

9. Jepun

10. Switzerland.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 7:15 AM