PASANGAN menggunakan payung untuk melindungi diri daripada cahaya matahari di Seville, Sepanyol. FOTO AFP
PASANGAN menggunakan payung untuk melindungi diri daripada cahaya matahari di Seville, Sepanyol. FOTO AFP
AFP

Madrid: Sepanyol mengalami gelombang haba buat kali keempat tahun ini dengan suhu meningkat di timur laut dan selatan negara itu.

Agensi cuaca AEMET memaklumkan, suhu dilaporkan meningkat di kebanyakan kawasan semenanjung, mencecah melebihi 40 darjah Celsius di wilayah timur laut Catalonia dan Aragon serta mencecah hampir 44 darjah Celsius di bahagian wilayah selatan Andalusia.

Peramal cuaca berkata, gelombang haba terbaharu adalah disebabkan cahaya matahari yang terik dengan jisim udara yang hangat dan stabil, serta turut menjejaskan lembangan sungai utama di seluruh negara.

Di bandar ini, suhu mencecah sekitar 38 darjah Celsius dengan ramai mengatakan bahang pada waktu malam adalah perkara yang paling sukar untuk ditanggung.

"Perkara yang paling teruk mengenai gelombang haba adalah kamu tidak tidur lena pada waktu malam," kata Antonio Tort, 69, kepada AFPTV.

"Pada siang hari kamu boleh tinggal di dalam dan minum banyak, tetapi pada sebelah malam, kamu tidak boleh lena dan bangun dalam emosi yang sangat baik," katanya lagi

Pemandu pelancong, Victor Bernardo 33, pula berkata, bulan musim panas di Madrid adalah tempoh yang sukar kerana sangat panas dan kering.

"Ada kalanya panas lebih ketara pada waktu malam berbanding siang kerana haba terkumpul di dalam tanah sepanjang hari kemudian meresap keluar pada waktu malam," katanya.

Gelombang haba itu dijangka berlarutan sehingga Khamis dengan suhu dilihat memuncak pada Isnin dan Selasa.

Sejak Selasa minggu lalu, ratusan anggota bomba ditugaskan memadam kebakaran besar di pulau percutian Tenerife di Kepulauan Canary, yang setakat ini memaksa pemindahan lebih 12,000 penduduk.

Kebakaran berlaku selepas pulau di Lautan Atlantik itu mengalami gelombang haba yang menyebabkan banyak kawasan kering.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 12:37 PM