RANGKA manusia. FOTO HIASAN
RANGKA manusia. FOTO HIASAN
Agensi

Dublin: Mengejutkan apabila tapak perkuburan berusia lebih 1,000 tahun, ditemukan semasa kerja penggalian untuk sebuah hotel baharu di pusat bandar ini.

Mirror UK melaporkan, kira-kira rangka 100 manusia daripada zaman pertengahan ditemukan di kawasan sekitar Capel Street, lokasi di mana sebuah tempat gereja kecil pernah didirikan.

Sekurang-kurangnya dua daripada rangka ditemukan dipercayai mayat yang disemadikan pada awal abad ke-11.

Kerja penggalian dilakukan oleh kumpulan hospitaliti Beannchor, yang sedang membangunkan Hotel Bullitt Dublin di tapak Boland's Bakery yang lama.

Ahli arkeologi juga menemui kesan tapak Rumah Mesyuarat Presbyterian sejak 1667. Lokasi itu akan menjadi pusat kepada pembangunan konsep bar dan restoran baharu.

Sebahagian daripada sebuah rumah yang dikenali sebagai 'Dutch Billies' yang dibina sekitar 1700 oleh pendatang yang berhijrah ke Dublin, selepas Raja William of Orange naik takhta sebagai pemerintah Inggeris juga ditemukan.

Rumah itu akan dipelihara dan sebuah bangunan dengan ketuhar dari Boland's Bakery sejak 1890, akan diubah suai dan digunakan semula.

Rangka yang ditemukan akan dibersihkan dan dihantar untuk analisis lanjut, kerana ia akan diberikan kepada Perkhidmatan Monumen Negara.

Pengarah penggalian untuk Perunding Warisan Courtney Derry (CDHC) Edmond O'Donovan menerangkan kepentingan penemuan itu.

"Pada zamannya, St Mary's Abbey adalah biara abad pertengahan yang terbesar dan paling kaya di Ireland.

"Ia sudah dirobohkan selepas 1540 apabila biara itu dibubarkan oleh Henry VIII, dan kemudian menjadi tapak Rumah Mesyuarat Presbyterian abad ke-17.

"Salah satu perkara yang menarik mengenal penggalian itu adalah kami menemui beberapa tapak perkuburan awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 12:56 PM