PENDUDUK  berada di jalanan selepas gempa bumi di
PENDUDUK berada di jalanan selepas gempa bumi di
BERNAMA

Ankara: Sekurang-kurangnya 22 orang cedera akibat gempa bumi kuat melanda wilayah Duzce di barat laut Turkiye awal Rabu, lapor Agensi Anadolu.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi bermagnitud 5.9 itu melanda pada 4.08 pagi (0108GMT) waktu tempatan, yang berpusat di daerah Golyaka.

Gempa berlaku pada kedalaman 6.81 kilometer (km) atau 4.2 batu dari dasar laut.

Gegaran turut dirasai di Istanbul dan wilayah lain termasuk barat laut Bolu, Sakarya, Kocaeli, Bursa, Bilecik, dan wilayah Izmir dan Kutahya barat serta ibu kota Ankara.

Disebabkan gempa itu, sebanyak 18 gegaran susulan direkodkan.

Pemotongan bekalan kuasa sedang dilakukan di rantau itu sebagai langkah berjaga-jaga, menurut Afad.

Menteri Kesihatan Fahrettin Koca menerusi ciapan di Twitter memaklumkan seorang mangsa berada dalam keadaan kritikal.

Pasukan Penyelamat Perubatan Kebangsaan dan ambulans sudah dihantar ke wilayah berkenaan, katanya.

Gabenor Duzce, Cevdet Atay mengumumkan bahawa sekolah-sekolah ditutup pada Rabu akibat gempa bumi itu.

Pada 1999, wilayah Duzce dilanda gempa bumi bermagnitud 7.2 yang berlangsung selama 30 saat, mengorbankan 710 orang dan mencederakan 2,679 yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 3:15 PM