PAPAN iklan digital di Times Square, New York memaparkan foto Ratu Elizabeth II. FOTO AFP
PAPAN iklan digital di Times Square, New York memaparkan foto Ratu Elizabeth II. FOTO AFP
AFP

London: Pemimpin di seluruh dunia memberikan penghormatan, atas Kemangkatan Ratu Elizabeth II pada Khamis di Istana Balmoral di Scotland, pada usia 96 tahun.

Penghormatan diberikan ramai pemimpin di seluruh dunia termasuk dari negara yang pernah dikuasai British, negara yang pernah berperang dengannya dari wilayah kecil hingga kerajaan terkuat di dunia dan dari institusi berabad lamanya kepada negara-negara yang belum 'lahir' ketika baginda menaiki takhta.

Antara penghormatan diberikan kepada Ratu Elizabeth II yang memerintah United Kingdom sejak 1952 dan juga ketua negara di 14 negara Komanwel di seluruh dunia adalah daripada Komanwel sendiri.

Di India, perdana menterinya, Narendra Modi menyatakan kesedihan beliau atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Pemimpin di benua Afrika, Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa mengimbau kembali kenangan beliau dengan baginda ketika berkongsi pandangan mengenai Nelson Mandela, manakala Presiden Kenya William Ruto memuji kepimpinan baginda yang disifatkan sebagai terpuji dalam Komanwel.

Perdana Menteri Australia Anthony Albanese pula menyifatkan kemangkatan baginda sebagai petanda penghujung era.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata, Ratu Elizabeth II adalah ketua negara Kanada dengan kehadiran berterusan baginda dalam hidup rakyat negara itu yang akan kekal sebagai bahagian penting dalam sejarah negara buat selamanya.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pula memaklumkan bahawa baginda adalah pemerintah pertama British pertama yang menjalinkan hubungan peribadi dengan orang di seluruh dunia.

"Ratu Elizabeth II adalah seorang negarawan mempunyai maruah dan keteguhan tiada tandingan yang mengukuhkan pakatan asas antara United Kingdom dan Amerika Syarikat. Baginda membantu menjadikan hubungan kami istimewa," katanya yang mengarahkan bendera di Rumah Putih dan bangunan kerajaan dikibarkan separuh tiang sebagai penghormatan.

Pemimpin kerajaan lain yang kurang mesra dengan Britain turut memberikan penghormatan termasuk Presiden Rusia Vladimir Putin yang mengucapkan takziah kepada Raja Charles III dan mendoakan raja baharu itu supaya tabah selepas kehilangan bonda tercinta.

Pada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula, mereka bertafakur selama seminit.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menyifatkan Ratu Elizabeth II adalah figura yang dikagumi di seluruh dunia kerana rahmat, maruah dan dedikasinya.

Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) Charles Michel turut menzahirkan rasa sedih atas kemangkatan baginda yang juga pemerintah Britain sepanjang pembabitan negara itu dalam EU.

"Dengan gelaran Elizabeth yang tabah, baginda tidak pernah gagal menunjukkan kepada kita kepentingan nilai yang berkekalan dalam dunia moden," katanya.

Berita berkaitan

Ratu Elizabeth II mangkat

Charles, akhirnya menjadi raja

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 9:27 AM