TAKUNGAN air di tasik Serre-Poncon di Ubaye Serre-Poncon, Perancis semakin susut akibat kemarau. FOTO AFP
TAKUNGAN air di tasik Serre-Poncon di Ubaye Serre-Poncon, Perancis semakin susut akibat kemarau. FOTO AFP
AFP

Brussels: Kemarau yang melanda Eropah semakin teruk, sementara hujan disertai ribut petir di beberapa negara di rantau itu mengakibatkan kerosakan harta benda, menurut penyelidik Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin.

Analisis bulanan Balai Cerap Kemarau Global (GDO) EU menyatakan gelombang haba sejak Mei mengakibatkan risiko kekeringan tanah berterusan, selain diburukkan lagi dengan kekurangan taburan hujan.

Laporan itu turut mengekalkan amaran sebelum ini bahawa hampir separuh wilayah EU menghadapi risiko kemarau dan menyatakan aliran sungai mulai mengecut dan sumber air semakin berkurangan sekali gus memberi kesan kepada penjanaan tenaga serta mengurangkan sumber tanaman.

"Kemarau melanda banyak wilayah di Eropah sejak awal tahun ini semakin berleluasa dan bertambah buruk setakat awal Ogos," kata laporan itu yang diterbitkan Pusat Penyelidikan Bersama Suruhanjaya Eropah.

Ancaman kemarau itu dilaporkan melanda sebahagian besar Itali, Sepanyol, Portugal, Perancis, Jerman, Belanda, Belgium, Ireland, Luxembourg, Romania dan Hungary serta negara bukan EU iaitu Britain, Serbia, Ukraine dan Moldova.

Keseluruhannya, 17 peratus Eropah kini berada dalam kategori amaran merah, 11 peratus lebih tinggi berbanding Julai lalu.

"Penurunan hujan baru-baru ini (pertengahan Ogos) mungkin mengurangkan keadaan kemarau di beberapa wilayah di Eropah, bagaimanapun di beberapa kawasan, ribut petir menyebabkan kerosakan, kerugian, dan mungkin mengehadkan kesan baik hujan," menurut laporan GDO itu.

Bahagian Mediterranean EU sepatutnya menjangkakan cuaca lebih panas dan kering daripada biasa sehingga November, kata laporan itu lagi.

Kawasan yang dilanda anomali hujan dalam tempoh tiga bulan lalu termasuk Portugal, Sepanyol, selatan Perancis, tengah Itali, Switzerland, selatan Jerman dan sebahagian besar Ukraine.

GDO turut melaporkan paras normal hujan mungkin beralih ke Eropah antara Ogos dan Oktober tetapi ia mungkin tidak mencukupi untuk memulihkan kemarau di rantau itu.

Sebahagian daripada Sepanyol, Portugal dan Croatia mungkin terus mengalami keadaan lebih kering daripada biasa, bagaimanapun situasi sama di Pergunungan Alps mungkin berkurangan.

Laporan itu mendedahkan keadaan atmosfera yang dikaitkan dengan gelombang haba yang melanda Eropah sepanjang Mei hingga Julai pada tahap tertinggi sejak 1950.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 3:10 PM