KAWASAN kebakaran hutan pain di wilayah Gironde di barat daya Perancis. FOTO EPA
KAWASAN kebakaran hutan pain di wilayah Gironde di barat daya Perancis. FOTO EPA
BERNAMA

Paris: Gelombang haba di Perancis mencapai paras kemuncak apabila suhu maksimum mencecah antara 38 dan 41 darjah Celsius pada Jumaat, lapor Meteo-France.

Sejak gelombang haba ketiga melanda pada musim panas tahun ini terutamanya di kawasan Mediterranean bermula 31 Julai lalu, cuaca panas kini mula merebak ke barat daya dan pantai Atlantik.

Walaupun cuaca tidak sepanas pada Jun dan Julai, suhu masih di paras tinggi untuk jangka masa yang lebih lama.

Pada Julai Perancis mengalami defisit hujan buat kali pertama dalam sejarah negara, apabila hampir tiada hujan pada awal Ogos kecuali beberapa kejadian ribut petir, terutamanya di Alps, Corsica dan Pyrenees.

Justeru kenaikan suhu terbaru ini akan memburukkan lagi kemarau yang sudah melanda sebahagian kawasan, lapor Xinhua.

Bermula 17 Julai kemarau di Perancis mencatatkan rekod baharu sejak rekod yang dicatatkan pada Ogos 1958.

Sehingga 8 Ogos, kemarau menjejaskan seluruh kawasan metropolitan yang disifatkan setanding dengan kemarau pada 1976 dan 2003, menurut Meteo-France.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 2:49 PM