KERETA Api Ciernohronska akan melintasi  stadium Cierny Balog. FOTO Agensi
KERETA Api Ciernohronska akan melintasi stadium Cierny Balog. FOTO Agensi
Agensi

Bratislava: Sebuah stadium bola sepak di Cierny Balog di Slovakia dianggap unik kerana memiliki landasan yang membolehkan kereta api melalui kawasan di dalam bangunan itu.

Ternyata, keunikan itu memberi kebanggaan kepada pasukan bola sepak amatur TJ Tatran yang menggunakan padang di stadium berkenaan untuk latihan dan perlawanan.

Cierny Balog adalah sebuah pekan kecil yang hanya dihuni 5,100 penduduk dan kini menjadi tarikan pelancong.

Ia mula dikunjungi pelancong sejak tujuh tahun lalu sekali gus memberi lonjakan kepada sektor pelancongan di pekan kecil itu.

Pada 2015, satu video kereta api wap melalui kawasan dalam stadium berkenaan yang landasannya hanya bersebelahan padang dan tempat duduk penyokong.

Video berkenaan kemudiannya tular menyebabkan orang ramai mula berpusu-pusu untuk merasai pengalaman unik di stadium itu.

Pada mulanya, ada yang beranggapan video itu adalah teknik kesan khas imej janaan komputer (CGI).

Namun, ia adalah kejadian sebenar dan sememangnya kereta api berkenaan akan melintasi kawasan di dalam stadium.

Kereta Api Ciernohronska akan melintas stadium Cierny Balog dan ia hanya boleh dilihat sepanjang musim panas.

Masih tidak jelas punca majlis perbandaran memilih lokasi itu untuk membina stadium bola sepak kerana landasan kereta api itu sebelum ini hanya terbiar selama satu dekad.

Keadaan itu kemudian berubah pada awal 1990-an selepas sekumpulan peminat kereta api Slovakia mula membaiki landasan itu.

Pada 1992, ia dibuka semula secara rasmi sebagai landasan kereta api warisan untuk pelancong.

Ketika musim panas, pelancong yang ingin menikmati keindahan pergunungan Lower Tatras dengan menaiki kereta api boleh membeli tiket kereta api berkuasa enjin wap yang merentasi laluan sepanjang 17 kilometer (km) antara Chvatimech dan Vydrovo.

Selain itu, kereta api berkenaan akan melalui stadium Cierny Balog yang menjadi antara tarikan utama perjalanan.

Melihat kereta api wap bergerak di stadium ketika perlawanan bola sepak adalah pengalaman yang agak menakjubkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 12:17 PM