FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
AFP

Rom: Polis Itali berjaya mematahkan rancangan kejam seorang lelaki yang mahu bekas teman wanitanya cacat dengan cara disimbah asid oleh seorang pembunuh upahan yang ditempah melalui 'dark web'.

Menyifatkan rancangan itu umpama adegan filem 'thriller', polis di Rom mengatakan ini adalah pertama kali mereka berjaya menghentikan jenayah keganasan gender yang dirancang di internet.

Suspek, seorang pakar teknologi maklumat (IT) yang dikatakan berusia 40-an dan bekerja untuk sebuah syarikat besar, dikenakan hukuman tahanan rumah dan didakwa atas cubaan mencederakan badan dan mengintai.

Merancang plot berkenaan secara terperinci, dia mahu bekas kekasihnya menjadi cacat hingga bergantung kepada kerusi roda, dan telah bersetuju untuk membayar pembunuh upahan itu dengan sejumlah wang dalam Bitcoin, kata polis dalam satu kenyataan.

Lelaki berkenaan juga sudah membuat bayaran pendahuluan, dan pembunuh upahan itu sudah bersedia untuk memulakan 'tugasnya'.

Menurut agensi berita Itali AGI, yang memetik dokumen mahkamah, pembunuh upahan itu sepatutnya menerima hampir 10,000 euro (RM49,125).

Polis mengatakan mereka mula menyiasat pada bulan Februari, selepas diberitahu melalui Interpol oleh rakan dari negara Eropah lain yang pertama kali mengesan perbualan mencurigakan di laman berkenaan.

Terdapat beberapa kes keganasan terhadap wanita di Itali dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk serangan asid dan pembunuhan yang dilakukan oleh lelaki yang mensasarkan pasangan atau bekas pasangan mereka.

Daripada 111 wanita yang dibunuh pada tahun 2019, 55 dibunuh oleh suami atau teman lelaki, sementara 13 dibunuh oleh bekas kekasih mereka, menurut lembaga statistik nasional Istat dalam data terbaru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 10:18 PM