ELIF Perincek ketika menerima rawatan lanjut di hospital. EPA
ELIF Perincek ketika menerima rawatan lanjut di hospital. EPA
AFP

Ankara: Pasukan penyelamat mengeluarkan dua kanak-kanak yang terperangkap dari bangunan yang runtuh, selepas tiga hari gempa bumi bermagnitud 7 melanda wilayah Aegean di negara itu.

Gempa bumi pada petang Jumaat lalu itu menyebabkan 94 orang terkorban dan banyak bangunan rosak atau runtuh.

Media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Elif Perincek diselamatkan selepas 65 jam selepas bencana berkenaan.

Elif adalah individu ke-106 yang ditemui masih bernyawa daripada runtuhan bangunan di Bayrakli dan bandar sekitarnya di barat Turki itu.

Dalam pada itu, seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun, Idil Sirin, turut diselamatkan di Bayrakli, 58 jam selepas gempa berkenaan.

Hampir 1,000 orang cedera dan sekurang-kurangnya 150 orang masih dirawat di hospital.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Turki berkata, terdapat 1,323 gempa susulan sehingga malam Isnin, dengan 43 daripadanya bermagnitud lebih daripada empat.

Selain itu, pihak berkuasa juga sudah melancarkan siasatan bagi menyiasat punca 58 bangunan yang runtuh dan rosak teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 9:24 AM