TANGKAP layar video selepas insiden tembakan di masjid Al-Wadi Al-Kabir, Oman. FOTO UGC / AFP.
TANGKAP layar video selepas insiden tembakan di masjid Al-Wadi Al-Kabir, Oman. FOTO UGC / AFP.
BERNAMA

Muscat: Angka kematian susulan insiden tembakan berhampiran masjid di kawasan Al-Wadi Al-Kabir, Oman meningkat kepada enam termasuk seorang anggota polis.

Polis Oman dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan tiga penyerang turut terbunuh, manakala 28 individu daripada pelbagai negara termasuk empat anggota polis cedera.

"Kejadian itu mengakibatkan kematian lima individu, seorang anggota polis dan tiga penyerang," menurut kenyataan itu.

Pihak polis, tentera dan anggota keselamatan telah selesai menjalankan prosedur menangani insiden tembakan di kawasan Al-Wadi Al-Kabir.

Mereka yang cedera telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Siasatan berhubung insiden masih berjalan," menurut polis.

Polis Oman turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan penduduk tempatan yang membantu mengawal keadaan.

Kementerian Luar Pakistan memaklumkan pada Selasa bahawa empat rakyatnya maut dalam insiden itu, manakala puluhan lagi rakyat Pakistan sedang menerima rawatan di hospital.

Dalam pada itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengecam sekeras-kerasnya insiden tembakan di pekarangan masjid di Wadi Kabir, Oman hingga mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.

UAE menyatakan solidariti dengan Oman dan menyokong sepenuhnya langkah-langkah yang diambil bagi melindungi keselamatan dan kestabilan negara.

Kementerian Luar Negeri (MoFA) dalam satu kenyataan menegaskan bahawa UAE menolak semua bentuk keganasan, menjejaskan keselamatan dan kestabilan serta membahayakan nyawa penduduk yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Kementerian itu menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada kerajaan dan rakyat Oman serta kepada keluarga mangsa dan berharap agar mereka yang cedera cepat sembuh.

Sementara itu, Sekretariat Agung Liga Arab dalam satu kenyataan pada Selasa turut mengutuk insiden tembakan dan menyatakan solidariti dengan Oman dalam apa jua langkah yang dianggap perlu bagi mengekalkan keamanan dan kestabilannya, lapor WAM.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan beberapa lagi cedera akibat ditembak di sekitar sebuah masjid di Al-Wadi Al-Kabir, Muscat, Oman pada Selasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 12:57 PM