GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Jakarta: Tidak tahan sering dipukul suami yang kaki mabuk, seorang isteri di Jakarta Timur nekad tergamak menggunakan khidmat pembunuh upahan bagi membunuh suaminya.

Wanita itu, Dian Safitri, 32, dikatakan mengaku mengupah dua lelaki dengan bayaran 100 juta rupiah (RM28,847) untuk menamatkan riwayat suaminya, Lucky Hutagaol, 32.

Lebih mengejutkan, kedua-dua pembunuh upahan berkenaan adalah remaja berusia 16 dan 17 tahun.

Ketika kejadian, wanita itu dipercayai berpura-pura seolah-olah suaminya itu diserang oleh perompak.

Bagaimanapun, suaminya tidak meninggal dunia dan berada dalam keadaan kritikal di Hospital Polri Kramat Jati.

Portal Tribunnews melaporkan Dian kemudian mengakui kepada polis bahawa dia nekad melakukan jenayah berkenaan kerana tidak tahan hidup terseksa.

"Sejak 10 tahun saya dikasari dan mahu beri dia pengajaran supaya tidak menyakiti saya lagi, saya kesal," katanya.

Dian mendakwa, dia sering dipukul, disebat dengan tali pinggang serta dibaling gelas.

"Setiap kali pulang ke rumah, suami pasti dalam keadaan mabuk...saya sudah tidak tahan dengannya," katanya.

Selama ini, Dian mendakwa berdiam diri dan tidak melaporkan kekerasan yang dilakukan suaminya berikutan memikirkan nasib tiga anaknya sekiranya kehilangan ayah.

Wanita itu kemudian menceritakan perbuatan suaminya kepada adik Gugun, 20, yang kemudian menyarankan supaya membunuh lelaki itu.

Selepas Dian bersetuju, Gugun menghubungi dua remaja itu untuk membunuh Lucky pada 2 November lalu.

"Saya cuma diberitahu untuk menyediakan wang dan sampai sekarang saya belum membayar mereka (pembunuh upahan)," katanya.

Empat suspek itu merancang seolah-olah Lucky terbunuh dalam kejadian rompakan.

Pada mulanya, polis menyangkakan mangsa cedera akibat dirompak sebelum curiga apabila mendapati Dian tidak mengalami kecederan.

Lucky dilaporkan ditetak di kepala dan tangan ketika lelaki itu tidur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 6:30 AM