GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

MEDIA sosial memberi banyak kemudahan tetapi seperti biasa tetap ada pihak yang menyalahgunakannya.

Ini terbukti dengan penahanan seorang lelaki oleh polis di Surabaya selepas dia dituduh membeli bayi melalui Instagram, lapor portal Jakarta Post, hari ini.

Lelaki itu ditahan anggota keselamatan di rumahnya di daerah Jambangan, Surabaya, Jawa Timur, kelmarin.

Dia didapati membayar 3.8 juta rupiah (RM1,037) untuk membeli bayi lelaki itu yang baru berusia tiga hari.

Ketua Polis Surabaya, Rudi Setiawan dilaporkan memberitahu bahawa urusan jual beli itu dilakukan di Semarang, Jawa Tengah, pada 23 September lalu.

“Bayi itu kini selamat di bawah perlindungan pentadbiran Surabaya,” kata Rudi yang dipetik portal kompas.com.

Menurut laporan media tempatan, ibu bapa bayi itu tinggal di Tangerang, Banten.

Pihak berkuasa mendapati, urusan jual beli kanak-kanak itu dilakukan oleh pengendali akaun Instagram yang telah dinamakan sebagai suspek kes dan berfungsi sebagai pihak yang mempertemukan pembeli dan penjual.

Pengendali akaun itu memberi keterangan mengatakan tiga bayi telah dijual secara haram menggunakan akaun Instagram kendaliannya.

Sehingga ini, lima orang telah ditahan berhubung kegiatan pemerdagangan kanak-kanak dan akan didakwa mengikut akta perlindungan kanak-kanak yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 5:36 PM