HUJAN lebat di Lapangan Terbang Dubai, UAE, semalam. FOTO Reuters
HUJAN lebat di Lapangan Terbang Dubai, UAE, semalam. FOTO Reuters
AFP

Dubai: Lapangan terbang antarabangsa utama Dubai mengalihkan banyak penerbangan masuk, pada Selasa, ketika hujan lebat melanda Emiriah Arab Bersatu (UAE) sehingga menyebabkan banjir besar di negara padang pasir itu.

Hab udara tersibuk di dunia untuk penumpang antarabangsa mengesahkan penghentian ketibaan pada 7.26 malam, sebelum mengumumkan penyambungan semula operasi secara beransur-ansur selepas lebih dua jam.

Terdahulu, lapangan terbang itu yang menjangkakan lebih 100 ketibaan penerbangan pada malam Selasa, mengambil langkah yang luar biasa untuk menghentikan seketika operasinya dalam keadaan huru-hara disebabkan oleh ribut.

Dubai, pusat kewangan Timur Tengah, lumpuh akibat hujan lebat yang menyebabkan banjir di seluruh UAE dan Bahrain, dan menyebabkan 18 maut di Oman, pada Ahad dan Isnin.

Operasi lapangan terbang Dubai digantung selama 25 minit pada sebelah malam Selasa, sebelum disambung semula.

Beberapa foto dan video yang tidak disahkan di media sosial menunjukkan pesawat melintasi kawasan apron di lapangan terbang, yang dibanjiri air bertakung.

Penerbangan yang sepatutnya berlepas tetap beroperasi pada waktu malam tetapi dibelenggu dengan kelewatan dan pembatalan. Jalan masuk ke lapangan terbang juga dinaiki air.

Kedua-dua negara Oman dan UAE, yang menganjurkan persidangan iklim PBB COP28 tahun lepas, sebelum ini memberi amaran bahawa pemanasan global berkemungkinan membawa kepada lebih banyak banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 12:51 PM