POLIS melakukan siasatan di gereja Assyria, pinggir Sydney susulan insiden tikaman yang mencederakan empat orang termasuk Paderi Mar Mari Emmanuel. FOTO Reuters.
POLIS melakukan siasatan di gereja Assyria, pinggir Sydney susulan insiden tikaman yang mencederakan empat orang termasuk Paderi Mar Mari Emmanuel. FOTO Reuters.
Reuters

Sydney: Insiden tikaman terbaharu yang berlaku ketika upacara keagamaan di gereja Assyria, pinggir bandar Sydney, semalam adalah tindakan pengganas yang disyaki didorong ekstremisme agama, kata polis Australia hari ini.

Sekurang-kurangnya empat orang cedera dalam serangan menggunakan pisau itu termasuk Paderi Mar Mari Emmanuel, ketika upacara keagamaan yang disiarkan secara langsung di Wakeley.

Ia berlaku tiga hari selepas tragedi di pusat beli-belah Westfield Bondi Junction yang mengorbankan enam orang, Sabtu lalu.

Insiden turut mencetuskan pergelutan antara polis dan orang ramai yang berkumpul di luar gereja kerana berang dengan apa yang berlaku dan mendesak supaya suspek dibawa keluar.

Susulan itu, polis terpaksa menahan seketika suspek iaitu remaja lelaki di dalam gereja hingga keadaan reda, demi keselamatannya.

"Kita percaya terdapat elemen yang berunsurkan ekstremisme agama dalam serangan ini," kata Pesuruhjaya Polis New South Wales, Karen Webb.

Berdasarkan rakaman video, paderi itu sedang menyampaikan ceramah yang menarik perhatian global selepas disiarkan secara langsung, apabila seorang lelaki menghampirinya dan menyerang dengan pisau.

Insiden itu yang kedua dalam tempoh tiga hari di bandar paling ramai penduduk di Australia selepas tragedi di pusat beli-belah Westfield Bondi Junction.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 11:06 AM