DONGALPUR (kiri) menyerang Prahlad Gujjar (kanan) sehingga maut. FOTO Agensi.
DONGALPUR (kiri) menyerang Prahlad Gujjar (kanan) sehingga maut. FOTO Agensi.
Agensi

New Delhi: Cubaan lelaki di India untuk berswafoto dengan singa mengundang bencana apabila dia dibaham haiwan itu ketika memasuki kandangnya di sebuah zoo di Andhra Pradesh.

Kisah itu menjadi bualan selepas mangsa Prahlad Gujjar, 38, berasal dari Alwar, Rajasthan meninggal dunia dalam kejadian di Taman Zoologi Sri Venkateswara, Triputi pada Khamis.

Lelaki berkenaan dikatakan memasuki kandang singa yang dinamakan Dongalpur itu dan cuba mengambil gambar dengannya, namun haiwan terbabit menyerang dan membaham Gujjar sebelum penjaga zoo sempat bertindak.

Polis membuka kertas siasatan terhadap kes itu, manakala bedah siasat ke atas mayat mangsa masih dijalankan.

Siasatan juga untuk mengenal pasti punca kejadian, termasuk sama ada lelaki itu masuk ke kandang singa dalam keadaan mabuk.

Untuk rekod, zoo itu mempunyai tiga ekor singa termasuk dua lagi yang dinamakan sebagai Kumar dan Sundari.

Dongalpur yang mula dipamerkan kepada awam Khamis lalu, kini dipindahkan ke sangkar dan dikurung di bawah pemerhatian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 2:35 PM