Suasana pada Persidangan Dewan Negara yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Suasana pada Persidangan Dewan Negara yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, selepas dibahas lapan senator.

Rang undang-undang itu bertujuan memastikan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) selaras dengan kehendak Protokol Palermo dan Konvensyen ASEAN bagi Menentang Pemerdagangan Manusia terutama Wanita dan Kanak-Kanak (ACTIP).

Rang undang-undang itu membabitkan beberapa pindaan yang antara lain termasuk pindaan tafsiran pemerdagangan orang dan pemansuhan tafsiran paksaan.

Terdahulu, Ismail ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata pindaan tafsiran itu adalah elemen paling utama dalam pindaan kali ini yang bertujuan menyeragam tafsiran pemerdagangan orang dan paksaan.

"Penyelarasan tafsiran ini dihasratkan dapat membantu memudahkan proses pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang dan pertubuhan kepada penjenayah yang terlibat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 5:47 PM