AFP

Jakarta: Sekurang-kurangnya 13 terbunuh dan 38 cedera di timur Indonesia pada Ahad dalam satu letupan di loji pemprosesan nikel yang dibiayai China, kata pemilik taman perindustrian yang menempatkan kemudahan itu.

Pulau Sulawesi ialah hab untuk pengeluaran nikel, logam asas yang digunakan untuk bateri kenderaan elektrik dan keluli tahan karat, dan pelaburan Beijing yang semakin meningkat telah mencetuskan keresahan terhadap keadaan di kemudahannya.

Kemalangan itu berlaku sekitar 5:30 pagi (waktu tempatan) di sebuah kilang milik PT Indonesia Tsingshan Stainless Steel (ITSS) di Taman Perindustrian Morowali di wilayah Sulawesi Tengah, kata jurucakap kompleks itu dalam satu kenyataan.

"(Jumlah kematian) meningkat seorang, daripada 12 kepada 13," katanya kepada AFP.

Beliau mengenal pasti mangsa yang maut ialah lapan warga Indonesia dan lima pekerja China.

Siasatan awal menunjukkan letupan berlaku semasa kerja pembaikan pada relau apabila cecair mudah terbakar menyala dan letupan seterusnya menyebabkan tangki oksigen berhampiran turut meletup, kata pegawai itu.

Api telah dipadamkan pagi Ahad, menurut kenyataan itu.

Tsingshan Holding Group, pengeluar nikel terbesar dunia dan pembuat keluli tahan karat terbesar China, memegang pegangan majoriti dalam ITSS.

ITSS ialah penyewa di taman perindustrian itu, yang juga dimiliki majoriti oleh Tsingshan bersama rakan kongsi tempatan Bintang Delapan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 5:10 PM