Orang ramai berjalan melintasi jalan di Seoul pada Sabtu, 16 Disember. FOTO Yonhap
Orang ramai berjalan melintasi jalan di Seoul pada Sabtu, 16 Disember. FOTO Yonhap
BERNAMA-YONHAP

Seoul: Korea Selatan bersiap sedia untuk menghadapi gelombang sejuk pada Sabtu dengan suhu lebih rendah dan salji tebal dijangka berlaku pada hujung minggu.

Suhu dijangka turun serendah -5 darjah Celsius (C) di seluruh negara pada Sabtu dengan suhu tertinggi di Seoul dan Incheon kekal pada -3 C, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA).

KMA berkata hujan atau salji dijangka berlaku di kawasan Seoul yang lebih besar dan sebahagian dari wilayah Gangwon sehingga 6 petang dan larut malam di pedalaman barat wilayah Gyeongsang Utara.

Lebih banyak salji dijangka berlaku di negara itu pada Ahad dengan salji sehingga tujuh sentimeter (cm) dijangka di barat daya Wilayah Gyeonggi dan antara satu hingga tiga cm di Seoul, Incheon dan utara wilayah Gyeonggi.

Pulau selatan Jeju dan sebahagian wilayah Jeolla selatan dan utara diramal menerima lebih banyak salji, dengan lebih 30 cm salji dijangka bertimbun di kawasan pergunungan Jeju.

KMA berkata suhu mungkin terus menurun pada Ahad yang bakal menyaksikan paras terendah suhu pagi mencecah antara -3 dan -17 C di seluruh negara.

Paras terendah suhu pagi dijangka mencapai -12 C di Seoul, -16 C di bandar sempadan Paju dan -17 C di daerah Cheorwon di wilayah Gangwon.

Amaran gelombang sejuk akan berkuat kuasa di kawasan termasuk Seoul, Busan, Daejeon dan Daegu pada 9 malam Sabtu.

Amaran itu dikeluarkan apabila suhu pagi turun di bawah -12 C selama lebih daripada dua hari berturut-turut atau apabila suhu menurun lebih daripada 10 C hingga di bawah -3 C.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 2:55 PM