PENCURI hanya meninggalkan bekas barang kemas yang kosong. FOTO Agensi
PENCURI hanya meninggalkan bekas barang kemas yang kosong. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Seorang wanita Burma sedang sarat hamil merayu pencuri memulangkan semula barang kemasnya bernilai lebih 240,000 baht (kira-kira RM32,171) yang dicuri dari almari di rumahnya.

Portal The Thaiger melaporkan, wanita berkenaan turut berkongsi bekas barang kemas yang sudah kosong bersama-sama video rayuannya diiringi tangisan yang dirakam penuh emosi di media sosial.

Dengan sebak, dia mendedahkan barang kemas itu satu-satunya harta dimiliki yang dikumpul sedikit demi sedikit dan disimpan supaya boleh dijual untuk menampung perbelanjaan hospital melahirkan bayinya dan simpanan kecemasan mereka anak-beranak.

Wanita hamil enam bulan itu dijangka bersalin pada Mac 2024 dengan kos sekitar 60,000 baht (kira-kira RM8,041) dan dia merancang untuk menjual beberapa barang emasnya itu bagi menampung kos termasuk rawatan.

Saluran 3 kemudiannya menemubual wanita berkenaan dan mangsa berusia 26 tahun mendedahkan dia bekerja sebagai pembantu rumah di Thailand selama lebih 10 tahun.

Apabila menerima gaji setiap bulan dia terus membeli barang emas yang kini bernilai 240,000 (kira-kira RM32,171) itu.

Wanita itu berkata dia hanya menyedari barang kemasnya dicuri pada 27 November lalu selepas terdetik untuk memeriksa bekasnya yang disimpan di dalam almari di rumah.

Katanya, dia menyimpan bekas barang kemas itu di dalam almari pakaian dan jarang memeriksanya tetapi terdetik untuk melihatnya pada hari berkenaan.

Tiada tanda jenayah pecah masuk rumah, malah almari pakaian itu juga tidak ada sebarang kerosakan.

Pemeriksaan lanjut dilakukan wanita itu mendapati semua barang berharga lain ada kecuali aksesori emas.

Katanya, dia tidak boleh membuat laporan kerana pegawai polis memberitahu dia tidak mempunyai bukti kecurian dan tiada dokumen yang mengesahkan dia adalah pemilik sebenar barang kemas itu.

Menurutnya, dia sudah menghabiskan separuh nyawanya menyimpan barang kemas itu dan kini semua usahanya seperti sia-sia.

Dia berharap pencuri itu akan melihat berita itu dan sekurang-kurangnya berasa kasihan kepada anak-anaknya.

Malah, wanita itu bersungguh-sungguh memohon kepada pencuri itu untuk menunjukkan belas kasihan dan memulangkan barang berharga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2023 @ 3:01 PM