KESAN kemusnahan susulan serangan Israel di kem pelarian Jabalia, utara Gaza. FOTO Reuters
KESAN kemusnahan susulan serangan Israel di kem pelarian Jabalia, utara Gaza. FOTO Reuters
Agensi

Baitulmaqdis: Tentera Israel pada Selasa memaklumkan sudah mengepung sepenuhnya kawasan Jabalia di utara Gaza sebagai persediaan pertempuran darat.

Agensi Anadolu melaporkan, kawasan Jabalia termasuk kem pelarian Jabalia dan pekan Jabalia yang paling padat dengan penduduk di Gaza.

Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, tenteranya mengebom hebat kawasan Jabalia dalam beberapa hari kebelakangan ini untuk bersiap sedia menghadapi pertempuran darat.

Tentera Israel mendakwa pihaknya memusnahkan tiga pintu masuk terowong dengan operasi Hamas di dalam serta pelancar roket di kawasan itu.

Ia menambah bahawa unit tentera sedang berusaha untuk membuka laluan kepada tentera untuk menyerang kawasan Jabalia.

Pada 27 Oktober, tentera Israel memulakan operasi darat terhadap Gaza. Ia adalah fasa kedua serangan mautnya ke atas kawasan Palestin.

Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza berikutan serangan rentas sempadan oleh kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober lalu.

Pihak berkuasa di Gaza pada Isnin berkata, angka kematian akibat serangan Israel yang berterusan ke atas enklaf itu sejak 7 Oktober lalu, mencecah lebih 13,300, termasuk 5,600 kanak-kanak dan 3,550 wanita.

Ribuan bangunan, termasuk hospital, masjid, dan gereja, juga rosak atau musnah dalam serangan udara serta darat Israel ke atas kawasan yang dikepung itu.

Menurut data rasmi, angka kematian rakyat Israel mencecah kira-kira 1,200 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 9:38 AM