PESAKIT demam denggi menerima rawatan di sebuah hospital di Bangladesh. FOTO Reuters
PESAKIT demam denggi menerima rawatan di sebuah hospital di Bangladesh. FOTO Reuters
AFP

Dhaka: Lebih 1,000 individu di Bangladesh meninggal dunia akibat demam denggi, sejak awal tahun ini dan angka itu semakin meningkat akibat perubahan iklim.

Angka dari Direktorat Jenderal Perkhidmatan Kesihatan Bangladesh yang diterbitkan pada malam Ahad melaporkan 1,006 individu yang meninggal dunia, daripada lebih 200,000 kes yang disahkan.

Bekas pengarah agensi itu Be-Nazir Ahmed berkata, jumlah kematian setakat tahun ini, adalah lebih tinggi daripada angka pada tahun-tahun sebelumnya yang digabungkan sejak 2000.

"Ia adalah peristiwa kesihatan besar-besaran, di Bangladesh dan di dunia," katanya kepada AFP pada Isnin.

Antara yang maut adalah 112 kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah, termasuk bayi.

Kumpulan saintis mengaitkan wabak tahun ini dengan hujan tidak teratur dan suhu yang lebih panas semasa musim tengkujuh tahunan yang mewujudkan keadaan pembiakan yang ideal untuk nyamuk.

"Ia bukan hanya berlaku di Bangladesh, namun banyak negara tropika dan subtropika mengalami denggi tahun ini," kata profesor zoologi di Universiti Jahangirnagar di Dhaka, Kabirul Bashar kepada AFP pada September.

Denggi adalah penyakit endemik di kawasan tropika dan menyebabkan demam panas, sakit kepala, loya, muntah, sakit otot dan, dalam kes yang paling serius, pendarahan yang boleh membawa kematian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa denggi dan penyakit lain yang disebabkan oleh virus bawaan nyamuk seperti chikungunya, demam kuning dan Zika semakin cepat merebak akibat perubahan iklim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 9:36 AM