KAEDAH ‘Wolbachia’ mengurangkan jangkitan denggi.
KAEDAH ‘Wolbachia’ mengurangkan jangkitan denggi.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


HASIL kajian terbitan 'New England Journal of Medicine' menunjukkan kaedah 'Wolbachia' dapat mengurangkan kes jangkitan denggi ke atas manusia.

Wolbachia ialah bakteria hidup yang dimasukkan ke dalam nyamuk pembawa penyakit.

Wolbachia melemahkan virus denggi dalam badan nyamuk dan menghalang penyebaran denggi kepada manusia.

Buktinya, 77 peratus kes demam denggi menurun di Jogjakarta, Indonesia selepas nyamuk itu dilepaskan ke kawasan berkenaan.

Kajian berjudul Penggunaan Wolbachia untuk Menghapuskan Denggi dilaksanakan dalam Program Nyamuk Sedunia oleh Monash University, Australia bersama Universiti Gadjah Mada, Indonesia.

Denggi adalah penyakit sebaran nyamuk paling cepat merebak di dunia dengan lebih 50 juta kes dilaporkan di peringkat global setiap tahun.

Pengarah Program Nyamuk Sedunia, Prof Scott O'Neill berkata, kaedah Wolbachia yang menggunakan bakteria semula jadi, menjadikannya selamat kepada manusia.

"Hasil kajian memberikan keyakinan kepada kami untuk membantu masyarakat di dunia yang berisiko dengan jangkitan denggi," katanya.

Pakar Denggi Universiti Malaya, Prof Dr Lucy Lum Chai See berkata, potensi kaedah Wolbachia yang dilaksanakan dalam komuniti di seluruh dunia diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"WHO juga mengisytiharkan Wolbachia terbukti memberikan manfaat kepada kesihatan awam dalam menentang denggi.

"Kajian ini dirangka dengan teliti dan dilaksanakan di bandar raya seperti Jogjakarta yang mempunyai tahap penyebaran dan beban penyakit denggi tinggi," katanya.

Beliau berkata, penggunaan kaedah Wolbachia ialah senjata biologi paling berkesan untuk menentang virus denggi yang menyasarkan vektor perumah nyamuk aedes aegypti.

"Kaedah ini bersifat mesra alam kerana Wolbachia diwarisi oleh generasi nyamuk yang seterusnya.

"Hasil kajian ini mempunyai kesan penting ke atas 40 peratus penduduk dunia yang berhadapan risiko denggi," katanya.

Setakat ini, Program Nyamuk Sedunia menyokong usaha melepaskan nyamuk dalam kajian ke 11 negara di Asia, Australia, Amerika Latin dan Pasifik dengan kira-kira 6.8 juta orang menerima manfaat daripada penggunaan kaedah Wolbachia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 6:10 AM