SAKSHI Ahuja. FOTO Agensi
SAKSHI Ahuja. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Malang nasib wanita 34 tahun yang maut di stesen kereta api di bandar ini, selepas terkena renjatan elektrik di tengah banjir akibat hujan tidak henti-henti di ibu negara India, baru-baru ini.

Portal NDTV melaporkan, mangsa, Sakshi Ahuja yang juga penduduk Preet Vihar di Delhi Timur, tiba di stesen kereta api itu kira-kira 5.30 pagi.

Dia bersama dua wanita dan tiga kanak-kanak.

Ketika kejadian, dia berpaut pada tiang elektrik untuk mengelak lopak air sebelum terkena renjatan dan menyebabkan kematiannya.

Menurut jurucakap polis, saksi kejadian membawanya ke hospital dalam usaha menyelamatkan nyawanya.

Namun, wanita itu kemudian disahkan meninggal dunia.

Menerusi satu kenyataan, polis memaklumkan insiden itu berlaku berhampiran pintu keluar nombor satu stesen kereta api New Delhi.

Hasil siasatan awal mendapati mangsa bertugas sebagai guru di Sekolah Awam Lovely, Priyadarshani Vihar, Laxmi Nagar.

Berikutan kejadian itu, kakak mangsa, Madhvi Chopra membuat laporan mendakwa kes itu berlaku disebabkan kecuaian pihak berkuasa.

Bapa mangsa, Lokesh Kumar Chopra, turut menyalahkan pihak berkuasa kerana kecuaian.

Pengurusan stesen kereta api dan polis sedang menyiasat kejadian itu bagi menentukan siapa yang bertanggungjawab atas kecuaian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 10:36 AM