KAPAL perang China dilihat berhampiran dengan kapal pengangkut AS, USS Chung-Hoon di Selat Taiwan. FOTO Global News/ Reuters.
KAPAL perang China dilihat berhampiran dengan kapal pengangkut AS, USS Chung-Hoon di Selat Taiwan. FOTO Global News/ Reuters.
Agensi

Taipei: Tentera China mengambil tindakan menjejaki dua kapal perang masing-masing milik Amerika Syarikat (AS) dan Kanada yang melalui Selat Taiwan pada Sabtu, ketika pada masa sama Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin menyatakan berhati-hati berhubung konflik di kawasan itu.

Komando Teater Timur Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA), dalam kenyataannya berkata, Tentera Laut dan Tentera Udara China mengikuti pergerakan dua kapal perang berkenaan yang merentasi selat.

Kenyataan itu menuduh AS dan Kanada mengganggu keamanan dan kestabilan di rantau itu.

AS kerap melalui selat sempit antara Taiwan dan China, dengan China menganggap pulau tadbir sendiri itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Transit terbaharu sebelum ini yang diketahui umum ialah pada April lalu.

Selepas transit pada Sabtu, tentera China menyatakan kesediaannya untuk bertindak balas terhadap sebarang ancaman, menjaga kedaulatan negara, keselamatan dan kestabilan serantaunya.

Kenyataan itu tidak menyatakan sebarang tindakan lanjut yang mungkin diambil China.

Misi transit Tentera Laut AS melalui Selat Taiwan itu diadakan ketika ketua pertahanan AS dan China menghadiri Dialog Sangri-La iaitu sidang kemuncak keselamatan serantau utama di Singapura.

Austin menyatakan bahawa sebarang konflik ke atas Taiwan boleh menjejaskan ekonomi global dengan cara yang tidak dapat diramalkan.

Beliau mengulangi gesaannya untuk komunikasi yang lebih baik antara tentera Amerika dan China sambil menyatakan kebimbangannya kemungkinan konflik di Selat Taiwan.

"Bagi pemimpin pertahanan, ia sentiasa masa yang sesuai untuk bercakap, dan masa itu adalah sekarang.

"Saya bimbang bahawa Republik Rakyat China tidak menunjukkan kesediaan untuk membincangkan mekanisme yang lebih baik untuk pengurusan krisis antara dua angkatan tentera kita. Saya berharap untuk perubahan dalam pendirian ini," kata Austin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 10:55 AM