FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Baitulmaqdis: Kanak-kanak lelaki berumur enam tahun maut pada Isnin, selepas diserang singa betina di dalam sangkar di sebuah resort di selatan Semenanjung Gaza, kata pegawai di wilayah Palestin.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku selepas kanak-kanak itu memanjat pagar keselamatan di resort Asda di Khan Yunis dan memasuki sangkar haiwan itu hingga menyebabkan kecederaan dan kematiannya.

Sementara itu, saksi kejadian berkata, mangsa menyelinap melalui lubang kecil di pagar dan menghampiri sangkar dan singa betina menggigit kepala mangsa.

Pasukan keselamatan menarik mangsa keluar dari tempat itu, dalam keadaan mangsa yang sudah berdarah.

Sumber perubatan berkata, mangsa dikejarkan ke hospital di bandar itu sebelum disahkan meninggal dunia.

Polis berkata, siasatan dijalankan dan resort yang turut menempatkan seekor lagi singa serta beberapa burung ditutup.

Khan Yunis terkenal kerana menempatkan apa yang disebut oleh badan kebajikan haiwan, Four Paws, sebagai zoo terburuk di dunia.

Ia dibuka pada 2007 dan akhirnya ditutup pada 2016 selepas pemilik bergelut untuk membeli makanan dan banyak haiwan mati kelaparan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 9:59 AM