WANITA membetulkan pelitup mukanya berhampiran poster memaparkan Dr Jiang Yanyong, di Beijing. FOTO fail Reuters.
WANITA membetulkan pelitup mukanya berhampiran poster memaparkan Dr Jiang Yanyong, di Beijing. FOTO fail Reuters.
AFP

Beijing: Doktor yang mendedahkan mengenai wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) di China, pada 2003, dilaporkan meninggal dunia pada usia 91 tahun.

Jiang Yanyong, ketika itu seorang doktor di hospital tentera Beijing menimbulkan kemarahan pihak berkuasa apabila dia memaklumkan media asing mengenai percubaan China untuk menutup mengenai wabak SARS dengan mendedahkan kewujudan ratusan kes yang tersembunyi sebelum ini.

Pengebumiannya diadakan pada pagi Rabu lalu, kata menantu Jiang, Cui Hong, yang memberitahu wartawan AFP tidak dibenarkan menghadiri upacara itu dan enggan memberikan butiran lanjut mengenai kematiannya.

Dia dilaporkan meninggal dunia Sabtu lalu.

SARS terus membunuh lebih 800 orang di seluruh dunia, dan kerajaan China mendapat kritikan antarabangsa yang hebat kerana pada mulanya menutup fakta bahawa penyakit itu muncul di selatan negara itu.

Jiang kemudian menghabiskan lapan bulan menjalani tahanan rumah selepas mengecam secara terbuka tindakan keras ketika insiden di Dataran Tiananmen 1989.

Jiang, ahli Parti Komunis China menghantar surat kepada Perdana Menteri ketika itu, Wen Jiabao pada 2004 menyeru penilaian semula kejadian itu.

Pemberi maklumat itu menghadapi pelbagai sekatan menjelang akhir hayatnya dan dihalang ke Amerika Syarikat pada 2007 untuk menerima anugerah hak asasi manusia.

Tiada liputan media di tanah besar China mengenai kematian Jiang walaupun segelintir pengguna media sosial menyiarkan penghormatan di media sosial popular negara iitu, Weibo.

"Dia seorang doktor yang berani bercakap benar," tulis seorang pengguna Weibo.

Maklumat mengenai bencana dan krisis kesihatan awam masih dikawal ketat di China.

Pada Disember 2019, sekumpulan doktor di Wuhan ditegur oleh polis kerana didakwa menyebarkan 'khabar angin' selepas mereka memberi amaran di media sosial mengenai penyakit baharu seperti SARS iaitu Covid-19 yang merebak melalui bandar raya China.

Pakar oftalmologi Li Wenliang, salah seorang doktor yang dipanggil polis kemudian meninggal dunia akibat Covid-19 menimbulkan gelombang kemarahan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 11:55 AM