TIBA al-Ali bersama tunangnya. FOTO YouTube, TIBA99
TIBA al-Ali bersama tunangnya. FOTO YouTube, TIBA99
AFP

Baghdad: Kematian bintang YouTube muda Iraq di tangan bapanya sendiri, mencetuskan kemarahan ramai dengan pelbagai pihak menggesa tindakan tegas diambil.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Saad Maan menerusi Twitter semalam berkata, Tiba al-Ali, 22, dibunuh bapanya di wilayah selatan Diwaniya, Iraq, 31 Januari lalu.

Katanya, polis cuba menjadi orang tengah dalam menyelesaikan masalah perbalahan antara Tiba dengan ahli keluarganya.

Maan berkata, ketika kejadian, wanita itu yang tinggal di Turki sedang melawat saudara-maranya di Iraq.

"Selepas pertemuan awal polis dengan keluarga itu, kami terkejut keesokan harinya... dengan berita pembunuhannya di tangan bapanya, seperti yang dia akui dalam pengakuan awalnya," katanya.

Rakaman perbualan yang tidak disahkan antara Tiba dan bapanya menunjukkan dia tidak berpuas hati dengan keputusan anaknya tinggal bersendirian di Turki.

Tiba mempunyai pengikut di YouTube selepas dia menyiarkan video rutin hariannya bersama tunangnya.

Sumber polis berkata, perbalahan keluarga berlaku sejak 2015.

Katanya, Tiba ke Turki bersama keluarganya pada 2017, namun dia enggan pulang ke negara asal, sebaliknya memilih untuk tinggal di Turki.

Pembela hak asasi manusia, Hanaa Edwar memberitahu AFP, menurut rakaman suara yang dikaitkan dengan wanita muda itu, dia meninggalkan keluarganya kerana diserang secara seksual oleh abangnya.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Iraq juga melaporkan dakwaan sama.

Kematian Tiba mencetuskan kekecohan di media sosial hingga menyebabkan rusuhan di Baghdad, Ahad lalu bagi menuntut keadilan.

Amnesty International mengecam pembunuhan itu dengan mengatakan undang-undang Iraq masih lemah dengan jenayah yang sering dipanggil pembunuhan kehormat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 11:15 AM