RAKAMAN terakhir dibuat Sonu Jaiswal. FOTO Agensi
RAKAMAN terakhir dibuat Sonu Jaiswal. FOTO Agensi
Agensi

Pokhara: Seorang penumpang pesawat Yeti Airlines ATR 72 yang terhempas dan mengorbankan sekurang-kurangnya 68 orang di Nepal, tanpa disedari merakamkan saat-saat akhir, sebelum nahas itu berlaku.

Penerbangan itu terhempas dengan 72 orang di dalamnya apabila ia mahu mendarat ke lapangan terbang yang baru dibuka di Pokhara.

Metro UK melaporkan, rakaman diambil oleh Sonu Jaiswal menunjukkan penumpang tersenyum ketika pesawat terbang rendah di atas kawasan perumahan.

Kamera tiba-tiba bergegar, penumpang menjerit dan kemudian skrin menjadi hitam.

Ia kelihatan menunjukkan pesawat tiba-tiba condong dan menjunam ke arah tanah ketika ia membuat pendekatan untuk mendarat ke lapangan terbang.

PASUKAN penyelamat melakukan operasi pencarian di lokasi. FOTO Agensi
PASUKAN penyelamat melakukan operasi pencarian di lokasi. FOTO Agensi

The Times of India yang dapat bercakap dengan sepupu Sonu iaitu Rajat Jaiswal mengesahkan bahawa lelaki berusia 29 tahun itu berada di dalam pesawat berkenaan..

Rajat berkata, Sonu melakukan penstriman langsung menerusi Facebook Live ketika menaiki penerbangan ke Pokhara itu.

Ia menunjukkan bahawa Sonu dan rakannya berada dalam suasana gembira tetapi tiba-tiba api muncul sebelum penstriman langsung itu berhenti.

Portal itu melaporkan seorang rakan Jaiswal, menjerit 'memang menyeronokkan', beberapa saat sebelum nahas.

Seorang saksi yang menyaksikan kejadian dari rumah teresnya berkata, dia melihat pesawat itu berpusing dengan kuat di udara ketika mahu mendarat.

Selepas kejadian itu, bomba membawa mayat yang sebahagiannya terbakar sehingga tidak dapat dikenali ke hospital. Saudara-mara waris mangsa berkumpul di hospital sama.

Beberapa ahli keluarga juga muncul di Lapangan Terbang Kathmandu di mana mereka kelihatan cuba mendapatkan maklumat daripada pegawai bertugas.

Perdana Menteri Nepal, Pushpa Kamal Dahal, bergegas ke Lapangan Terbang Kathmandu selepas nahas dan menubuhkan panel untuk menyiasat kejadian.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal berkata, setakat ini, punca kejadian masih belum diketahui.

Kali terakhir pesawat itu berhubung dengan lapangan terbang adalah dari lokasi berhampiran gaung Seti pada 10.50 pagi waktu tempatan.

Pesawat itu berusia 15 tahun, menurut laman web penjejakan penerbangan FlightRadar24.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 10:48 AM