PENGEMBARA memakai pelitup muka ketika berjalan memasuki Stesen Kereta Api Beijing. FOTO AP
PENGEMBARA memakai pelitup muka ketika berjalan memasuki Stesen Kereta Api Beijing. FOTO AP
AFP

Beijing: Pihak berkuasa kesihatan China pada Sabtu melaporkan hampir 60,000 kematian berkaitan Covid-19, dalam masa lebih sebulan.

Ia jumlah kematian pertama dikeluarkan kerajaan China sejak melonggarkan sekatan virusnya, pada awal Disember lalu.

Ketua Biro Pentadbiran Perubatan di bawah Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, Jiao Yahui pada sidang media memberitahu terdapat sejumlah 59,938 kematian berkaitan Covid-19 antara 8 Disember lalu dan 12 Januari tahun ini.

Jiao berkata, demam Covid-19 dan kemasukan ke hospital kecemasan memuncak di China, dan bilangan pesakit yang menerima rawatan di hospital, terus menurun.

"Di seluruh negara, jumlah pelawat klinik demam secara amnya dalam trend menurun selepas memuncak, baik di bandar dan luar bandar," katanya.

Menurut Jiao, bilangan pesakit untuk rawatan kecemasan juga berkurangan dan nisbah pesakit yang diuji positif Covid-19 juga semakin menurun.

Jumlah kes teruk juga memuncak, tambahnya, walaupun kekal pada tahap tinggi, dan kebanyakan pesakit adalah warga emas.

Sementara itu, pegawai Suruhanjaya Kesihatan Shanghai, Wen Daxiang berkata, China akan mengukuhkan pemantauan kesihatan dan pengurusan penduduk berisiko tinggi.

Katanya, China akan meningkatkan bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan selain meningkatkan latihan pekerja perubatan akar umbi untuk memerangi Covid-19 di kawasan luar bandar.

AFP sebelum ini melaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mahu bekerjasama dengan China untuk menguruskan lonjakan semula kes Covid-19 pada waktu peningkatan perjalanan orang ramai bagi menyambut Tahun Baharu Cina.

Bagaimanapun, maklum balas dari negara itu terus menghadapi cabaran akibat kekurangan data dan perbezaan cara laporan.

Covid-19 merebak di luar kawalan di China selepas negara itu menarik balik dasar 'sifar Covid-19' pada Disember lalu, tetapi WHO berkata, ia masih tidak mempunyai maklumat mencukupi dari China untuk membuat penilaian penuh bahaya lonjakan itu.

Perkara itu juga menjadi isu dalam bekerjasama dengan China mengenai cara mengurangkan risiko perjalanan menjelang cuti umum Tahun Baharu Cina, yang secara rasminya bermula dari 21 Januari, kata WHO.

Sebelum pandemik, musim perayaan itu dikenali sebagai sebagai penghijrahan tahunan terbesar di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 10:35 AM