GAMBAR pandangan atas kemalangan luar biasa yang berlaku di Jambatan Zhengxin di Henan, China. FOTO AFP.
GAMBAR pandangan atas kemalangan luar biasa yang berlaku di Jambatan Zhengxin di Henan, China. FOTO AFP.
Reuters

Beijing: Seorang maut selepas lebih 200 kenderaan 'menghentam' satu sama lain dalam kemalangan di atas jambatan di bandar Zhengzhou, wilayah Henan, China, semalam.

Kemalangan luar biasa itu dipercayai berlaku akibat kabus tebal yang mengehadkan jarak penglihatan, menurut penyelamat dan penyiar negeri CCTV.

Menerusi gambar dan video yang tersebar di media sosial, kelihatan kereta dan lori remuk serta saling bertindih antara satu sama lain di atas Jambatan Zhengxin Huanghe.

Satu kereta pula kelihatan terhimpit di tengah-tengah longgokan kenderaan berkenaan, berdasarkan rakaman CCTV.

LEBIH 200 kenderaan terbabit kemalangan di Jambatan Zhengxin di Henan, China FOTO AFP.
LEBIH 200 kenderaan terbabit kemalangan di Jambatan Zhengxin di Henan, China FOTO AFP.

Seorang mangsa kedengaran berkata, "kejadian ini sangat menakutkan. Ramai orang terbabit, (dan) saya tidak fikir kami dapat keluar dari jambatan ini."

Menurut media tempatan, jabatan bomba menghantar 11 jentera dengan kekuatan 66 anggota untuk membantu ramai mangsa cedera yang terperangkap dalam kenderaan mereka.

Perkhidmatan meteorologi memaklumkan jarak penglihatan di banyak kawasan di wilayah itu kurang 500 meter (m) pada pagi Rabu dan turun kepada 200m pada masa-masa tertentu.

Penyelamat yang dilapor media berkata, lebih 200 kenderaan menghentam satu sama lain, manakala CCTV melaporkan banyak kenderaan yang kemalangan di kedua-dua arah jambatan utama itu, yang menyeberangi Yellow River.

Polis menutup jambatan berkenaan daripada sebarang lalu lintas.

KEMALANGAN dipercayai berlaku akibat kabus yang menyebabkan jarak penglihatan terhad. FOTO AFP.
KEMALANGAN dipercayai berlaku akibat kabus yang menyebabkan jarak penglihatan terhad. FOTO AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 8:49 AM