POLIS menyuraikan penunjuk perasaan di Jakarta, Indonesia. FOTO: AFP
POLIS menyuraikan penunjuk perasaan di Jakarta, Indonesia. FOTO: AFP
AFP

JAKARTA: Polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan di luar Parlimen selepas ribuan orang memprotes di seluruh negara terhadap perancangan mengharamkan seks tanpa perkahwinan serta untuk melemahkan agensi antirasuah negara itu.

Kumpulan orang ramai mengelap muka dan bertempiar melarikan diri selepas tindakan itu menyebabkan keadaan kelam-kabut di pusat bandar Jakarta.

Polis mengambil tindakan selepas penunjuk perasaan membawa bendera dan papan tanda di Jakarta dan bandar lain - termasuk Yogyakarta, Bali serta Makassar - untuk hari kedua berturut-turut.

Hari ini, ahli Parlimen mendebatkan perubahan dalam undang-undang yang menjadikan seks sebelum perkahwinan sebagai jenayah, selain turut menghalang penjualan alat pencegahan kehamilan, mengharamkan perbuatan ‘menghina’ presiden selain memperketat undang-undang menghina agama negara itu.

Rang undang-undang itu sepatutnya diundi hari ini, tetapi Presiden Joko Widodo pada Jumaat lalu menundanya selepas ia mencetuskan kontroversi.

Undang-undang itu boleh menjejaskan jutaan rakyat Indonesia termasuk pasangan gay yang mengadakan hubungan seks tanpa ikatan perkahwinan atau mengadakan hubungan sulit. Jokowi juga mahu meneruskan perancangan meluluskan rang undang-undang berasingan yang dibimbangi mengurangkan kuasa siasatan agensi antirasuah negara itu termasuk untuk mengintip suspek menggunakan peranti ‘wiretap.’

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 9:23 PM