GAMBAR yang dikongsi Indonesian National Board for Disaster Management (BNPB) menunjukkan letusan gunung berapi menghentam jambatan di sebuah kampung. FOTO BNPM via EPA.
GAMBAR yang dikongsi Indonesian National Board for Disaster Management (BNPB) menunjukkan letusan gunung berapi menghentam jambatan di sebuah kampung. FOTO BNPM via EPA.
Reuters

Jakarta: Kira-kira 2,000 orang dipindahkan akibat letusan gunung berapi Semeru di Pulau Jawa, Indonesia sejak Ahad lalu.

Agensi mitigasi bencana Indonesia (BNPB) berkata, seramai 1,979 orang penduduk dipindahkan ke 11 pusat perlindungan, namun maklumat kemalangan jiwa masih belum diketahui setakat ini.

Katanya, pihak berkuasa juga mengedarkan pelitup muka kepada penduduk.

Sukarelawan, Bayu Deny Alfianto berkata, kebanyakan jalan ditutup sejak pagi tadi dan kini hujan abu gunung berapi melanda dan menutupi pemandangan gunung itu.

Kementerian Pengangkutan Indonesia berkata, bencana itu tidak menjejaskan perjalanan udara, namun notis dihantar ke dua lapangan terbang serantau untuk langkah berjaga-jaga.

Usaha menyelamat, mencari dan pemindahan masih giat dijalankan sejak letusan berlaku kira-kira 640 kilometer timur ibu negara, berikutan siri gempa bumi di barat Jawa, pada 2.46 pagi, Sabtu lalu.

PENDUDUK dipindahkan ke pusat perlindungan susulan letusan gunung berapi Semeru. FOTO Reuters.
PENDUDUK dipindahkan ke pusat perlindungan susulan letusan gunung berapi Semeru. FOTO Reuters.

Kepulan abu gunung berapi itu mencapai ketinggian 50,000 kaki (15 km), kata Agensi Meteorologi Jepun, yang pada mulanya berwaspada kemungkinan gunung berapi itu boleh mencetuskan tsunami, namun mereka menafikan.

Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi Indonesia (PVMBG), menaikkan amaran gunung berapi ke tahap tertinggi dan memberi amaran kepada penduduk supaya tidak menghampiri jarak 8 kilometer dari pusat letusan Semeru.

Tahun lalu, gunung tertinggi di Jawa itu, meletus hingga mengorbankan lebih 50 orang dan menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 9:16 AM