PASUKAN penyelamat mengusung mangsa gempa bumi di bandar Moxi di Luding, Sichuan. FOTO AP
PASUKAN penyelamat mengusung mangsa gempa bumi di bandar Moxi di Luding, Sichuan. FOTO AP
AFP

Beijing: Sekurang-kurangnya 46 orang terbunuh apabila gempa bumi kuat melanda barat daya China, semalam.

Gegaran kuat di kawasan terpencil merosakkan kediaman dan menyebabkan beberapa kawasan terputus bekalan elektrik.

Gempa bumi bermagnitud 6.6 itu melanda kira-kira 43 kilometer (km) tenggara bandar Kangding di wilayah Sichuan, pada kedalaman 10 kilometer (km), menurut Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) .

Penyiar rasmi China CCTV berkata, 17 orang maut di bandar Ya'an, manakala 29 kematian dilaporkan di wilayah jirannya, Ganzi.

"Seramai 16 orang lagi hilang dan 50 cedera," kata CCTV lewat Isnin.

Gegaran menggegarkan bangunan di ibu kota wilayah Chengdu di mana berjuta-juta orang terkurung di rumah mereka di bawah sekatan ketat Covid-19 dan di bandar besar berhampiran Chongqing, penduduk tempatan memberitahu AFP.

"Saya dapat rasa gegaran kuat. Beberapa jiran saya di tingkat bawah berkata, mereka merasakannya dengan sangat ketara," kata Chen, seorang penduduk Chengdu.

"Tetapi kerana Chengdu kini berada di bawah pengurusan wabak, orang ramai tidak dibenarkan meninggalkan kawasan kediaman mereka, jadi ramai daripada mereka bergegas keluar ke halaman rumah mereka," tambahnya.

Sekurang-kurangnya sebuah bandar mengalami kerosakan teruk akibat tanah runtuh yang dicetuskan oleh gempa itu, lapor CCTV.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 9:26 AM