PETUGAS perubatan dipanggil ke lokasi kejadian. FOTO Agensi
PETUGAS perubatan dipanggil ke lokasi kejadian. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Seekor gajah 'naik minyak' dan menyerang penjaganya kerana dikatakan dikerah bekerja dengan teruk dalam kejadian di ladang getah di wilayah Phang Nga, Thailand, Rabu lalu.

Menurut portal Thaiger, penjaga haiwan itu meninggal dunia dengan mayatnya dipijak dan dan ditusuk dengan gading.

Polis tempatan dari Balai Polis Takua Thung dimaklumkan mengenai kematian penjaga itu pada 11.30 pagi.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, polis dimaklumkan gajah jantan bernama Pom Pam, berusia 20 tahun merobek tubuh Supachai Wongfaed, 32.

Mayat Wongfaed ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan Pom Pam berdiri di atasnya, menurut NextShark.

Polis tempatan berkata kepada The Thaiger, gajah itu menikam penjaganya menggunakan gading beberapa kali sebelum merobek tubuhnya kepada separuh.

Siasatan awal polis mendedahkan bahawa Pom Pam 'dipaksa' Wongfaed untuk mengangkut kayu getah di ladang, pada pagi kejadian.

Polis juga berkata, cuaca panas mungkin menyebabkan gajah itu 'gila' sehingga menyerang penjaganya.

Pegawai Ternakan Wilayah Phang Nga kemudiannya dipanggil ke tempat kejadian untuk menenangkan Pom Pam bagi membolehkan petugas perubatan mengangkat mayat Wongfaed.

Populasi gajah domestik negara itu dianggarkan berjumlah 3,800 ekor dengan lebih 2,700 ekor digunakan dalam industri pelancongan sebelum 2020.

Walaupun dianggap haiwan jinak, gajah juga boleh mendatangkan bahaya kepada manusia apabila tertekan, ada provokasi atau berasa terancam.

Pada Julai lalu, seekor gajah di Thailand juga menyerang pemiliknya selepas dipaksa mendaki bukit untuk bekerja, lapor Thaiger.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 1:10 PM