ALLAN Safitra Indra Wahyudi terkorban selepas pesawat tempur dipandunya terhempas. FOTO Agensi.
ALLAN Safitra Indra Wahyudi terkorban selepas pesawat tempur dipandunya terhempas. FOTO Agensi.
Agensi

Blora: Proses pencarian serpihan pesawat tempur T-50i Golden Eagle TT-5009 yang terhempas di hutan KPH Cepu, tepatnya Desa Nginggil, Kecamatan Kradenan, Kabupaten Blora, Jawa Tengah masih diteruskan.

Portal Detik.com melaporkan, puluhan penduduk setempat turut membantu mencari serpihan pesawat berkenaan.

"Pada mulanya kita menemui serpihan pesawat," kata seorang penduduk Suparji, 46, yang turut melakukan pencarian.

Mereka juga menemui serpihan besar, berukuran kira-kira dua meter, sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.

Malah, penduduk turut menemui cebisan daging dipercayai badan manusia.

"Kemudian kita juga menemui segumpal daging dan kami menutupnya dengan daun," kata Suparji.

Mereka kemudian memaklumkan perkara itu kepada petugas.

Sementara itu, Tentera Udara Indonesia (TNI AU) memaklumkan juruterbang pesawat berkenaan, Leftenan Satu Allan Safitra Indra Wahyudi terkorban dalam nahas itu.

"Kru pesawat pesawat T-50i Golden Eagle TT-5009 yang jatuh di Desa Nginggil, Kradenan Blora Jawa Tengah, Isnin malam disahkan terkorban ketika melaksanakan tugas latihan terbang malam," demikian kenyataan TNI AU menerusi laman sesawang rasminya, tni-au.mil.id, hari ini.

TNI AU sudah membentuk pasukan untuk menyiasat punca pesawat utu terhempas.

Ketika ini, proses pemindahan pesawat masih berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 4:02 PM