FOTO fail menunjukkan tembok konkrit yang dibina untuk memisahkan penduduk Gaza dari dunia luar. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan tembok konkrit yang dibina untuk memisahkan penduduk Gaza dari dunia luar. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Israel menambah bilangan permit kerja untuk rakyat Palestin di Gaza, dan langkah itu menjelang ketibaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden di sini.

Tentera Israel dalam satu kenyataan memaklumkan, 1,500 rakyat Palestin lagi akan dibenarkan meninggalkan Semenanjung Gaza untuk bekerja di Israel.

Tindakan itu disifatkan sebagai langkah untuk membina keyakinan antara Israel dan pihak berkuasa Palestin.

Ia dilaksanakan Cogat iaitu unit kementerian pertahanan yang menyelia hal ehwal awam wilayah Palestin.

Selepas elaun terkini, seramai 15,500 warga Gaza akan dibenarkan bekerja di Israel di mana rakyat Palestin sering mencari pekerjaan sebagai buruh di tapak pembinaan atau ladang.

Kira-kira 2.3 juta rakyat Palestin menetap di Semenanjung Gaza yang berada di bawah sekatan Israel sejak Hamas mengambil alih kuasa pada 2007.

Cogat berkata, langkah baru-baru ini dibuat sebelum lawatan Biden pada Rabu dan ia disusuli dengan pertemuan yang jarang berlaku minggu lalu antara Menteri Pertahanan Israel Benny Gantz serta Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Israel juga akan menambah 5,500 penduduk tanpa dokumen menerusi Pendaftaran Penduduk Palestin.

Kemasukan dalam pangkalan data yang dikawal oleh Israel adalah penting bagi rakyat Palestin untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri atau melancong ke luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 11:33 AM