Base Camp Gunung Everest, gambar fail. FOTO AFP
Base Camp Gunung Everest, gambar fail. FOTO AFP
Agensi

Kathmandu: Nepal sedang mempertimbangkan untuk memindahkan Base Camp Gunung Everest (EBC) kerana peningkatan aktiviti manusia didapati menjejaskan kestabilan glasier Khumbu yang mencair dengan cepat.

Kem pangkalan terletak di glasier Khumbu, membentang dari 5,500 hingga 5,800 meter.

Ratusan pendaki memasang khemah setiap tahun di EBC terutamanya semasa pendakian pada musim bunga.

Panel kerajaan mengesyorkan peralihan itu kerana glasier yang semakin menipis menjadikannya berbahaya bagi pendaki.

"Ia adalah berdasarkan perbincangan awal. Ada perubahan yang semakin meningkat dalam persekitaran antaranya glasier Khumbu cepat mencair," kata Pengarah Jabatan Pelancongan, Surya Prasar Upadhyaya.

Upadhyaya mengetuai lapan anggota pasukan pemantau ekspedisi musim bunga Everest pada bulan Mei.

"Bagaimanapun belum ada keputusan rasmi untuk memindahkan kem pangkalan itu," katanya.

Khim Lal Gautam, ahli pasukan lain, memberitahu EFE bahawa mereka menyerahkan laporan awal kepada jabatan bagi memaklumkan perubahan alam sekitar dan mencadangkan pemindahan EBC ke tempat lain.

"Kita boleh mengelakkan aktiviti manusia di EBC yang menjejaskan glasier Khumbu," katanya.

Gautam, seorang juruukur kerajaan, yang juga ahli pasukan pengukuran ketinggian Everest pada Disember 2020 berkata, perubahan iklim mengubah landskap rantau Everest.

Lebih 2,000 individu berkumpul di EBC setiap tahun dan mendirikan khemah menunggu cuaca baik untuk mendaki puncak tertinggi.

Selain itu, terdapat kira-kira 57,000 pengembara sampai ke EBC setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 12:32 PM