RIBUT pasir di Baghdad. FOTO Reuters
RIBUT pasir di Baghdad. FOTO Reuters
AFP

Baghdad: Iraq menutup bangunan awam dan menutup sementara lapangan terbang, pada Isnin, ketika satu lagi ribut pasir melanda negara itu, yang kesembilan sejak pertengahan April.

Lebih 1,000 orang dimasukkan ke hospital di seluruh negara kerana masalah pernafasan, kata jurucakap kementerian kesihatan, Seif al-Badr kepada AFP.

Penerbangan juga dihentikan di negara jiran Kuwait untuk kali kedua bulan ini, ketika wilayah itu bergelut dengan fenomena itu yang semakin kerap berlaku.

Ibu negara Iraq, Baghdad diselubungi awan debu gergasi yang menyebabkan jalan-jalan yang biasanya sesak lalu lintas sebahagian besarnya lengang dan bermandikan cahaya jingga yang menyeramkan, kata wartawan AFP.

Perdana Menteri Mustafa al-Kadhemi mengarahkan semua kerja dihentikan dalam institusi yang dikendalikan kerajaan, kecuali perkhidmatan kesihatan dan keselamatan kerana 'keadaan iklim yang buruk dan ketibaan ribut pasir yang ganas'.

Trafik udara digantung di lapangan terbang antarabangsa di Baghdad, Arbil dan Najaf, sebelum penerbangan disambung semula di Baghdad dan Arbil.

Iraq disenaraikan sebagai salah satu daripada lima negara yang paling terdedah kepada perubahan iklim.

Kementerian alam sekitar memberi amaran dalam tempoh dua dekad akan datang, Iraq akan mengalami secara purata 272 hari ribut pasir setahun, meningkat kepada melebihi 300 hari menjelang 2050.

Dua ribut pasir Iraq sebelum ini mengakibatkan hampir 10,000 penduduk dimasukkan ke hospital dengan masalah pernafasan dan membunuh seorang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 10:17 AM