ORANG ramai menunggu bas untuk pulang ke kampung di terminal bas Kampung Rambutan, Jakarta. FOTO Reuters
ORANG ramai menunggu bas untuk pulang ke kampung di terminal bas Kampung Rambutan, Jakarta. FOTO Reuters
Agensi

Jakarta: Puluhan juta umat Islam Indonesia dijangka pulang ke kampung halaman mereka untuk menyambut Aidilfitri, lapor Reuters.

Keghairahan mereka untuk pulang ke kampung dapat dilihat menerusi kesesakan lalu lintas sehingga 10 kilometer dapat dilihat di beberapa laluan keluar dari ibu kota, mulai kelmarin.

Keputusan membenarkan perjalanan pulang beramai-ramai atau dikenali sebagai mudik itu dibuat selepas pihak berkuasa melarang tradisi itu dalam dua tahun lalu.

Larangan itu bertujuan untuk membendung penularan Covid-19 di negara Asia Tenggara yang mempunyai 270 juta penduduk itu.

Mudik merujuk kepada kepulangan beramai-ramai penduduk di bandar besar Indonesia untuk merayakan Aidilfitri pada hari-hari terakhir Ramadan.

Reuters melaporkan rakaman dron minggu ini menunjukkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua belah pondok tol di antara lebuh raya utama di luar Jakarta.

Penumpang juga mula memenuhi stesen kereta api dan bas untuk pulang ke kampung halaman.

"Seronok dapat berjumpa keluarga kerana sudah dua tahun tidak dapat pulang," kata Tri Wahyuni, 24, yang menunggu di stesen kereta api Pasar Senen di Jakarta.

Dia mahu menuju ke pelabuhan untuk pulang kampung halamannya di Lampung di Sumatera.

Awal bulan ini, Presiden Joko Widodo dalam ciapan di Twitter memaklumkan sekurang-kurangnya 79 juta rakyat Indonesia berhasrat pulang untuk Aidilfitri tahun ini.

Sejak dua tahun lalu, negara majoriti Islam terbesar di dunia itu bergelut dengan salah satu kadar jangkitan Covid-19 tertinggi di Asia.

Namun, ia melonggarkan banyak sekatan selepas penurunan mendadak dalam jangkitan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Sesetengah pengembara tempatan, bagaimanapun tetap berhati-hati dengan risiko Covid-19,walaupun menunjukkan tahap vaksinasi lebih tinggi dan beban kes yang lebih rendah.

"Semoga pada masa akan datang, tiada Covid-19. Semoga kami dapat pulang setiap tahun," kata Sri Suyanti, 35, seorang lagi penumpang kereta api yang sedang menunggu di stesen berkenaan bersama anak-anak perempuannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 8:00 AM