AMINVESTMENT Bank percaya bekalan  ubat-ubatan boleh berkurangan dalam tempoh satu atau dua bulan selepas perayaan Tahun Baharu Cina.
AMINVESTMENT Bank percaya bekalan ubat-ubatan boleh berkurangan dalam tempoh satu atau dua bulan selepas perayaan Tahun Baharu Cina.
Mahanum Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Harga jualan ubat dijangka meningkat berikutan peningkatan harga bahan farmaseutikal aktif (API) iaitu bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkan ubat-ubatan, kata penganalisis.

Harga API pada peringkat global meningkat mendadak pada hujung Disember 2022, sekali gus mendorong syarikat farmaseutikal untuk melepaskan kos bahan mentah yang tinggi kepada pengguna bagi mengurangkan impak kepada pendapatan.

AmInvestment Bank dalam nota penyelidikan menjelaskan bahawa syarikat farmaseutikal di bawah liputannya iaitu Apex Healthcare (Apex) dan Duopharma Biotech (Duopharma) dapat menyalurkan kos bahan mentah yang lebih tinggi kepada pelanggan mereka untuk mengurangkan kesan terhadap pendapatan.

Ia berkata, di dalam jangka pendek, Apex dan Duopharma bersedia untuk mendapat manfaat daripada kekurangan ubat yang berterusan dan peningkatan semula kes selesema di Malaysia.

Sementara itu, katanya, Duopharma boleh mendapat manfaat daripada pengukuhan berterusan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak awal November 2022.

"Secara positif, pemain farmaseutikal di bawah liputan kami mempamerkan kuasa penetapan harga untuk menyalurkan kos yang lebih tinggi kepada pelanggan dengan meningkatkan harga jualan produk.

"Ini disokong oleh kemampanan trajektori marjin untung kasar (GPM) sejak suku pertama 2021 hingga suku kedua 2022 meskipun harga API mencatatkan peningkatan tiga hingga lapan peratus secara konsisten dalam tempoh yang sama," katanya.

AmInvestment Bank berkata, kelonggaran dasar sifar-Covid China pada awal Disember 2022 membawa kepada lonjakan kes Covid-19, yang mengakibatkan permintaan meningkat secara mendadak untuk ubat berkaitan selsema yang digunakan untuk merawat gejala virus seperti demam dan batuk.

Dari segi bekalan, ia berkata, terdapat kawalan ketat ke atas pembelian ubat berkaitan selesema dalam tempoh tiga tahun lalu, termasuk keperluan terhadap pelanggan untuk memberikan maklumat peribadi dan bukti jangkitan.

Katanya, berikutan sekatan itu, farmasi di China mengurangkan tahap inventori sementara syarikat farmaseutikal mengurangkan pengeluaran di tengah-tengah kebimbangan stok tamat tempoh.

Namun, jelasnya kawalan itu ditarik balik pada akhir November 2022.

"Akibat daripada sekatan awal, China mengalami kekurangan bekalan ubat-ubatan yang teruk, membawa kepada sekatan eksport kerajaan China ke atas API.

"Akibatnya, terdapat kenaikan harga 12 peratus hingga 25 peratus pada akhir Disember 2022 di India. China menyumbang 40 peratus daripada bekalan API global," katanya.

Namun, AmInvestment Bank berkata, situasi bekalan terhad dijangka berkurangan pada Februari atau Mac 2023 memandangkan beberapa kerajaan wilayah mengembalikan catuan ubat-ubatan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memerangi kekurangan ubat-ubatan.

Di samping itu, ia berkata, kerajaan China mendorong syarikat farmaseutikal utama untuk mengeluarkan ubat pada kapasiti maksimum.

"Beberapa laporan media mendorong kami percaya bahawa kekurangan ubat boleh berkurangan dalam tempoh satu atau dua bulan selepas Tahun Baharu Cina.

"Bagaimanapun, kami melihat beberapa risiko terhadap tempoh masa memandangkan pulangan ratusan juta pekerja migran untuk perayaan Tahun Baharu Cina boleh menyebarkan wabak itu ke seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 6:05 AM