KANAK-KANAK berkenaan.
KANAK-KANAK berkenaan.
Agensi

Damsyik: Kanak-kanak lelaki, yang diculik dan diseksa hingga mencetuskan kemarahan antarabangsa sudah dibebaskan sebaik sahaja keluarganya membayar wang tebusan, bernilai AS$200,000 (RM838,300).

Komander Polis Deraa, Brigedier Dirar Al Dandal berkata, kumpulan itu mengarahkan bapanya ke Nawa dan mengenal pasti kawasan berhampiran silo bijirin di jalan menuju Quneitera.

"Penculik membebaskan kanak-kanak itu selepas bapa dan ibunya datang dengan membawa wang tebusan," katanya.

Katanya, empat suspek ditahan termasuk dalang utama yang dikaitkan dengan nombor telefon digunakan untuk menghubungi keluarga itu.

"Nombor antarabangsa yang digunakan penculik untuk berkomunikasi dengan keluarga kanak-kanak itu dipantau dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Interpol (Polis Antarabangsa) .

"Sebaik suspek dikenal pasti, pihak berkuasa tempatan menyerbu kampung Al Katibah di kawasan pedalaman Daraa," katanya.

Sementara itu, bercakap kepada The National, bapa saudara kanak-kanak itu berkata, keluarga berkenaan menjual tanah dan emas untuk mengumpul dana.

Kali terakhir kanak-kanak itu dilihat pada 2 November lalu ketika pulang dari sekolah bersama kakaknya sebelum diculik tiga lelaki dan seorang wanita yang bertopeng menggunakan dua motosikal.

Pada awal Februari lalu, satu video yang dikeluarkan penculik di media sosial menunjukkan kanak-kanak lelaki itu berseluar dalam, merayu kepada penculiknya supaya berhenti memukulnya.

Penculik meminta wang tebusan sebagai ganti untuk memastikan kanak-kanak itu pulang dengan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 11:04 AM