Agensi

Bangkok: Mahkamah Daerah Chiang Mai, Thailand menjatuhkan hukuman denda 14,500 baht (kira-kira RM1,815) kepada seorang hakim kanan selain menggantung lesen memandu lelaki itu, selama enam bulan.

Bangkok Post melaporkan, keputusan itu dibuat selepas Charnsak Somprayot yang juga Timbalan Ketua Hakim Wilayah 5 didapati menyebabkan kemalangan jalan raya, ketika memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurut pejabat kehakiman pada Rabu lalu, pendakwa raya di mahkamah mendakwa Charnsakatas tuduhan memandu secara melulu, enggan mengambil ujian pernafasan untuk mengesan kandungan alkohol dan gagal berhenti untuk membantu mangsa.

Mahkamah memutuskan Charnsak melanggar Akta Trafik Darat dan dia denda 29,000 baht (RM3,630) kerana memandu dalam keadaan mabuk.

Bagaimanapun, mahkamah kemudian mengurangkan separuh daripada jumlah denda itu dan menggantung lesennya.

Keputusan itu dibuat selepas Charnsak mengaku bersalah dan memberi pampasan sebagai ganti rugi terhadap mangsa.

Pejabat Kehakiman sedang menunggu hasil siasatan oleh Pejabat Ketua Hakim Wilayah 5 sebelum mempertimbangkan sama ada untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Charnsak boleh mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan Wilayah 5.

Terdahulu, tular rakaman video di laman sosial bertarikh 31 Disember menunjukkan seorang pemandu melanggar kereta operasi menyelamat di persimpangan Saeng Tawan di daerah Muang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 7:00 AM