IMEJ dari USGS.
IMEJ dari USGS.
Agensi

Jakarta: Gempa bumi bermagnitud 7.5 melanda timur Indonesia, hari ini.

Bernama melaporkan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia, pusat gempa adalah di laut pada kedalaman 10 kilometer (km), 95 km di utara bandar Maumere di Nusa Tenggara Timur.

Gegaran dirasai di Maluku, Nusa Timur Tenggara, Nusa Tenggara Barat, Sulawesi Selatan dan Sulawesi Tenggara.

Sementara itu, AFP yang memetik Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa itu bermagnitud 7.3.

USGS memberi amaran kemungkinan berlaku gelombang tsunami sebelum menarik balik amaran itu.

Pusat gempa terletak di utara Pulau Flores di Nusa Tenggara Timur yang mana gempa itu mencetuskan ketakutan selepas menghentam wilayah itu pada awal pagi kira-kira 3.20 pagi waktu tempatan.

"Saya berada di padang, semua orang berlari dalam panik. Saya masih takut," kata seorang penduduk pulau Adonara, Flores Timur, Nuraini.

Tiada kerosakan teruk mahupun kematian dilaporkan setakat ini, namun pihak berkuasa menggesa langkah berjaga-jaga.

"Lokasi berdekatan dengan pusat gempa... masih lagi selamat, tiada kemusnahan berlaku di situ.

"Namun, apabila gempa berlaku, semua orang lari meninggalkan rumah mereka," kata ketua daerah Flores Timur, Antonius Hubertus Gege Hadjon kepada Metro TV.

Pihak berkuasa Indonesia menggesa penduduk yang terkesan dengan bencana itu supaya tidak panik namun mencari tempat perlindungan selamat jauh dari kawasan pantai.

Sementara itu, menurut Pusat Amaran Tsunami Pasifik, bencana itu tidak lagi menimbulkan ancaman tsunami selepas amaran awal diberikan bahawa ombak seperti itu mungkin berlaku dalam radius 1,000 km dari pusat gempa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 1:54 PM