Seorang kanak-kanak bermain di pusat permainan di Beijing. China mencatatkan rekod kelahiran terendah pada tahun lalu menyebabkan krisis demografi yang serius. - FOTO EPA
Seorang kanak-kanak bermain di pusat permainan di Beijing. China mencatatkan rekod kelahiran terendah pada tahun lalu menyebabkan krisis demografi yang serius. - FOTO EPA
AFP

Beijing: Kadar kelahiran China menjunam ke paras terendah tahun lalu, sekali gus menekankan krisis demografi di Beijing disebabkan oleh tenaga kerja yang semakin menua, prestasi ekonomi yang hambar dan pertumbuhan penduduk paling lemah dalam masa berpuluh-puluh tahun.

Pada 2016, China melonggarkan dasar satu anak yang juga antara kaedah perancangan keluarga paling ketat di dunia bagi membolehkan pasangan untuk mempunyai dua orang anak.

Pada awal tahun ini, ia diperluaskan kepada tiga orang anak.

Namun, perubahan itu gagal menghasilkan jumlah kelahiran tinggi yang diharapkan, memandangkan kos sara hidup terus meningkat dan semakin ramai wanita membuat pilihan perancangan keluarga mereka sendiri.

Tahun lalu, China mencatatkan 8.52 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk menurut Banci Tahunan 2021 yang dikeluarkan pada minggu lalu iaitu kadar terendah sejak perangkaan tahunan itu dimulakan pada 1978.

Ia menandakan satu kemerosotan ketara berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 10.41.

Ia juga adalah jumlah terendah sejak Komunis China diasaskan pada 1949, menurut Biro Statistik Kebangsaan.

Selain itu, bancian itu turut mendedahkan bahawa jumlah perkahwinan yang didaftarkan pada 2020 mencecah jumlah terendah dalam masa 17 tahun, dengan hanya 8.14 juta pasangan berkahwin pada tahun lalu.

Di awal penularan Covid-19, beberapa kawasan di bahagian tengah China diletakkan di bawah perintah berkurung yang ketat selama berbulan-bulan dan di seluruh negara itu, dengan banyak pejabat kerajaan ditutup.

Bagaimanapun, sepanjang tahun lalu, sesetengah sekatan mula dilonggarkan terhadap majlis perkahwinan yang dibenarkan diteruskan seperti biasa.

Dua tanda pagar mengenai data perkahwinan itu menjadi tular di laman sosial Weibo minggu ini, dengan lebih 140 juta tontonan.

"Saya fikir memelihara seekor kucing adalah sukar, apatah lagi berkahwin dan membesarkan anak", keluh seorang netizen di laman itu.

Individu lain berpandangan bahawa tempoh bertenang selepas perceraian telah menghalang orang daripada tergesa-gesa untuk berkahwin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 7:23 PM